KUALA LUMPUR:Felda dan FGV Holdings Berhad harus duduk semeja bagi menyelesaikan kemelut semasa organisasi itu, kata bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad.

Seandainya pertelingkahan itu berterusan, Zakaria khuatir, pelabur akan hilang kepercayaan untuk terus melabur dalam FGV.

Sementara, Felda pula, tegas beliau,akan hilang fokus sebagai badan untuk menjaga kepentingan peneroka dan generasi berikutnya hanya kerana krisis yang tercetus.

Zakaria dalam masa mengingatkan FGV bahawa meskipun kilang pemprosesan minyak sawit adalah milik syarikat berkenaan, namun ia dibina di atas tanah yang dimilik oleh Felda manakala buah sawit yang diproses juga adalah milik Felda selain tanah ladang untuk tujuan kajian dan pembangunan (R&D) pula di bawah nama Felda.

"FGV ada mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak mempunyai masaalah untuk menyerahkan LLA (Perjanjian Pajakan Tanah) asalkan Felda sanggup untuk membayar pampasan sebanyak lebih RM3 bilion hingga RM4 billion.

"FGV juga menyatakan bahawa kilang-kilang memproses merupakan hak FGV. Perkara ini akan mengundang tindak balas dari Felda kerana FGV kena maklum bahawa sebahagian tanah tapak kilang masih dipunyai oleh Felda.

"Buah-buah sawit ( BTS) yang diproses oleh kilang-kilang FGV sebahagian besarnya datang dari Felda. Begitu juga tanah-tanah ladang untuk R&D, masih dibawah nama Felda," tegas Zakaria dalam kenyataan yang diedarkan pada Selasa.

Selain itu, kata Zakaria, cadangan Felda untuk mengambil semula tanah di bawah LLA daripada FGV hanya akan membawa kepada bebanan kewangan.

"Perkara ini akan mengundang masalah kepada Felda kerana dalam keadaan sekarang, Felda mempunyai hutang yang tinggi iaitu melebihi RM10 billion.

"Bagaimana pula Felda mahu menyediakan kewangan tambahan untuk menebus LLA dengan membayar RM3 bilion hingga RM4 billion kepada FGV dan seterusnya memperuntukan wang sebanyak RM300 juta setahun untuk kerja-kerja tanam semula?

"Ini tidak termasuk kos-kos lain seperti pembajaan, penjagaan, pengurusan serta membina kilang-kilang yang baru dan sebagainya," tegas Zakaria lagi.

BACA: FGV sedia serahkan kembali tanah Felda, nafi punca kerugian