Sebanyak 16 lot tanah di Jalan Semarak, di sini telah didaftarkan kembali atas nama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Perkara itu disahkan Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dalam satu sidang media di ibu pejabatnya di ibu negara.

Dengan pendaftaran itu, Jawatankuasa Khas Rundingan yang dilantik pada 8 Febuari lalu akan memulakan rundingan dengan syarikat pemaju untuk penambahbaikan terma dan syarat perjanjian pembangunan tanah-tanah berkenaan.

Perkara itu adalah rentetan daripada memorandum persefahaman yang ditandatangani oleh Felda dan Synergy Promenade Sdn Bhd pada 15 Januari lalu.

“Saya hendak jelaskan ia bermula apabila apabila 17 lot tanah Felda dipindah kepada SPSB melalui empat perjanjian jual beli yang telah dilakukan pada akhir 2015 dan 2016. Lembaga Felda dan Felda hanya tahu keadaan ini pada akhir bulan Januari.

“Empat perjanjian jual beli melibatkan 17 lot tanah. Jadi, jangan terkeliru... tetapi yang didaftarkan atas nama SPSB melibatkan 16 lot tanah. Jadi 16 lot inilah didaftarkan atas nama SPSB,” katanya lagi.

Mengulas lebih lanjut, memorandum persefahaman (MoU) antara Felda dan SPSB menggariskan tiga perkara.

“Pertama, SPSB akan kembalikan tanah atas nama mereka pada Felda untuk didaftar semula tanpa sebarang kos.

“Kedua, rundingan semula antara Felda dan SPSB untuk tambah baik terma dan syarat penjanjian pembangunan,” ujar beliau.

Pada masa sama, MoU itu menyebut mengenai siasatan polis memandangkan laporan dibuat pihaknya pada Disember.

Justeru, siasatan polis akan tetap diteruskan.

“Siasatan polis dia sudah panggil saksi-saksi untuk ditemubual. Yang lebih adil kita tanya pihak polis,” tambahnya.

Pada 15 Januari lalu, Synergy Promenade Sdn Bhd telah menyerahkan semula 16 geran tanah Felda yang telah dipindah milik untuk dibangunkan sebagai Kuala Lumpur Vertical City.

Dokumen berkenaan diserahkan kepada Pengarah Besar Felda, Datuk Ab Ghani Mohd Ali dalam satu majlis ringkas disaksikan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahril Abdul Samad di Ibu Pejabat Felda.

Tanah milik Felda yang bernilai RM270 juta itu mula menjadi kontroversi apabila Shahrir mendedahkan penukaran milik tanah berkenaan tanpa mendatangkan sebarang pembayaran kepada Felda.