ISTANBUL: Tiga anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) cedera, dua daripadanya parah, dalam satu letupan di sebuah pos PBB di selatan Lubnan, menurut Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL), lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jurucakap UNIFIL Candice Ardell dalam satu kenyataan menyatakan bahawa letupan di dalam sebuah pos PBB pada petang Jumaat berhampiran kawasan Adaisseh mengakibatkan tiga anggota pengaman cedera, dua daripadanya parah.
Advertisement
Beliau menambah semua anggota yang cedera sedang dibawa ke hospital, sambil memaklumkan bahawa punca letupan itu masih “tidak diketahui.”
Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan bahawa anggota pengaman yang cedera itu adalah daripada kontinjen Indonesia yang berkhidmat di bawah misi pengaman UNIFIL.
Ardell berkata minggu ini merupakan tempoh yang “sukar” bagi anggota pengaman yang beroperasi berhampiran sektor tengah kawasan operasi UNIFIL, sambil mendoakan mereka yang cedera segera pulih sepenuhnya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak mengenai kewajipan mereka untuk memastikan keselamatan anggota pengaman, termasuk mengelakkan aktiviti pertempuran berhampiran yang boleh membahayakan mereka.
-- BERNAMA-ANADOLU