KUALA LUMPUR:Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) terpaksa membuat pinjaman dan menanggung hutang mencecah RM10.7 bilion bagi memastikan operasi harian berjalan, susulan masalah kewangan sejak 2013.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Felda turut berdepan masalah untuk membayar balik hutang mereka.

Keadaan itu menyebabkan Felda berdepan masalah kecairan sebanyak RM1.3 bilion, setakat September lalu, jelas Ahli Parlimen Jeli itu.

"Sehubungan ini, kerajaan bersetuju memberikan moratorium selama dua tahun kepada Felda untuk salah satu daripada hutangnya, dan sebuah institusi yang lain memberi Felda moratorium selama enam bulan.

"Di samping itu, hutang peneroka yang tinggi serta kadar kutipan hutang yang tidak memberangsangkan turut memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan kedudukan kewangan Felda," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) berhubung pelan perancangan kerajaan bagi memulihkan kembali aliran tunai dan hutang Felda.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dan Keberkesanan Pelan Pemulihan Felda telah ditubuhkan bagi memastikan petunjuk prestasi utama yang ditetapkan dicapai.

Katanya, jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar, akan memantau pelaksanaan langkah-langkah dengan rapi agar ia dilaksanakan dengan lebih berkesan dan lancar.

Langkah-langkah pemulihan tersebut dijangka membawa hasil positif ke atas Felda pada  2023, tambah beliau.

"Selain itu, bagi memastikan Felda mencapai kemampanan kewangan dan kelestarian, Jemaah Menteri pada 14 Oktober 2020 telah meluluskan pelan pemulihan Felda.

"Antara syor yang diluluskan adalah penerbitan sukuk yang dijamin oleh kerajaan berjumlah RM9.9 bilion di mana RM6.0 bilion akan digunakan bagi mengurangkan beban hutang Felda dan bakinya akan digunakan untuk meningkatkan pendapatan teras iaitu melalui pengambilalihan pegangan saham FGV serta melaksanakan penamatan Perjanjian Pajakan Tanah," katanya.