FEM 2026: Reformasi sistem penjagaan warga emas perlu dipercepat - Nancy

Nancy berkata kerajaan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan dasar dan perundangan bagi menggalakkan lebih ramai wanita, khususnya golongan muda dan ibu, kembali menyertai pasaran kerja. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh lagi menangguhkan reformasi bagi mewujudkan sistem penjagaan kesihatan dan penjagaan jangka panjang yang bersepadu untuk warga emas, sejajar dengan persediaan negara menghadapi peningkatan populasi menua.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pembaharuan tersebut penting bagi memastikan warga emas kekal sihat, aktif dan berdaya upaya dari segi sosial serta ekonomi, di samping memperkukuh sistem sokongan berasaskan komuniti di seluruh negara.
Menurut beliau, tahap penglibatan warga emas dalam aktiviti sosial dan ekonomi kini semakin meningkat, dengan ramai dalam kalangan mereka terus meningkatkan kemahiran serta menceburi keusahawanan berskala kecil.
“Bantuan untuk warga emas berada di bawah kementerian dan telah ditambah baik. Kita dapat melihat penglibatan yang sangat aktif dalam kalangan warga emas, malah kebanyakannya berada dalam keadaan sihat.
"Ada yang meningkatkan kemahiran diri dan terlibat dalam aktiviti keusahawanan seperti perniagaan makanan sejuk beku di pusat bandar. Ketika ini, terdapat kira-kira 217 pusat berkaitan di seluruh negara,” katanya dalam sesi Forum Ekonomi Malaysia bertajuk Preparing for an Ageing Nation, pada Khamis.
Dalam pada itu, Nancy berkata kerajaan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan dasar dan perundangan bagi menggalakkan lebih ramai wanita, khususnya golongan muda dan ibu, kembali menyertai pasaran kerja.
Malaysia menyasarkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita sebanyak 60 peratus, namun kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak, keperluan penjagaan orang kurang upaya serta keselamatan di tempat kerja masih menjadi antara faktor utama yang menghalang penyertaan golongan tersebut.
Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha menyediakan persekitaran kerja yang lebih selamat dan kondusif, termasuk melalui pengenalan tribunal serta penambahbaikan aspek keselamatan di tempat kerja dan pusat asuhan kanak-kanak.
“Kita perlu memastikan tempat kerja dan kemudahan sokongan seperti taska benar-benar selamat supaya wanita lebih yakin untuk kembali bekerja. Undang-undang baharu turut diperkenalkan bagi menangani perkara ini dan memudahkan golongan muda menyertai pasaran kerja,” katanya.
Sehubungan itu, Nancy menggesa majikan mempertimbangkan pelaksanaan waktu kerja fleksibel, selain memperketatkan terma dan syarat operasi pusat asuhan kanak-kanak bagi meningkatkan tahap keselamatan serta kualiti perkhidmatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


