Fenomena air biru: Tiga syarikat perlombongan digantung dibenarkan beroperasi semula

Saarani bercakap ketika sidang media selepas Konvensyen Integriti dan Antirasuah Negeri Perak Sejahtera dan Majlis Peluncuran Program Keep Malaysia Clean Peringkat Negeri Perak hari ini. - Foto Bernama
IPOH: Tiga syarikat perlombongan, yang sebelum ini digantung sementara pengoperasiannya susulan fenomena air Sungai Perak bertukar biru, telah dibenarkan beroperasi semula pada 13 Jan lepas.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kelulusan kembali beroperasi itu berdasarkan siasatan penuh yang telah dijalankan oleh pihak berwajib terhadap ketiga-tiga syarikat berkenaan.
"Apabila mereka ini diberhentikan sementara (operasi) sebelum ini, tujuannya adalah untuk siasatan dibuat bagi mencari punca (fenomena) air biru.
"Kemungkinan terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dilakukan syarikat berkaitan sama ada disengajakan atau tidak, sebab itu siasatan dibuat oleh jabatan teknikal berkaitan dan setelah mereka berpuas hati, syarikat berkenaan diberikan semula kebenaran untuk beroperasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen Integriti dan Anti Rasuah Perak 2026 serta Majlis Peluncuran Program Keep Malaysia Cleen (KMC) Peringkat Negeri Perak 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Pada 19 Nov lepas, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengeluarkan perintah penggantungan operasi sementara kepada tiga syarikat lombong yang tidak mematuhi Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM).
NRES dalam kenyataan memaklumkan bahawa perintah penggantungan itu dikeluarkan susulan pemeriksaan serta pensampelan kualiti air oleh JMG di beberapa kawasan perlombongan di Hulu Perak berikutan aduan pencemaran Sungai Rui, Sungai Kijang, Sungai Kepayang dan Sungai Perak pada penghujung Oktober tahun lepas.
Sementara itu, Saarani berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap ketidakpatuhan dalam aktiviti perlombongan melibatkan sumber semula jadi dan alam sekitar yang berpotensi menimbulkan risiko kepada rakyat.
"Jika hal itu dibuktikan, kita akan meletakkan kesihatan dan nyawa rakyat jauh lebih penting daripada keperluan untuk mendapat pendapatan berdasarkan perlombongan itu. Jadi, semua orang kena patuh supaya tidak berlaku masalah sepertimana sebelum ini," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


