Skip to main content

Dunia

'Tiada siapa boleh mengecualikan kami daripada Piala Dunia' - Pasukan bola sepak Iran

FILE PHOTO: Soccer Football - World Cup - Asian Qualifiers - Group A - Iran v North Korea - Azadi Stadium, Tehran, Iran - June 10, 2025 Iran players line up before the match Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY./File Photo
Piala Dunia dijadual bermula pada 11 Jun 2026, dengan Iran sepatutnya bermain perlawanan peringkat kumpulan di Los Angeles dan Seattle. - Foto REUTERS

TEHRAN: Pasukan bola sepak kebangsaan Iran menolak kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang sebelum ini menyatakan bahawa adalah “tidak sesuai” untuk Iran mengambil bahagian dalam Piala Dunia yang bakal berlangsung di AS, Mexico dan Kanada.

Dalam satu kenyataan tegas, pasukan itu menegaskan bahawa Piala Dunia adalah acara antarabangsa yang dikendalikan FIFA, bukannya mana‑mana negara.

Advertisement

“Piala Dunia adalah acara bersejarah dan antarabangsa, dan badan yang mengawalnya ialah FIFA, bukan mana‑mana negara.

"Pasukan kebangsaan Iran, dengan kekuatan dan deretan kemenangan yang dicapai oleh anak‑anak lelaki Iran yang berani, adalah antara pasukan terawal layak ke kejohanan besar ini,” kata mereka.

Pasukan Iran turut menegaskan bahawa tiada negara berhak mengecualikan Iran daripada kejohanan itu, sambil menyindir bahawa satu‑satunya negara yang boleh dikecualikan ialah negara hos yang gagal menjamin keselamatan pasukan yang bertanding.

“Tiada sesiapa boleh mengecualikan pasukan kebangsaan Iran daripada Piala Dunia.

"Satu‑satunya negara yang boleh dikecualikan ialah negara yang hanya memegang gelaran ‘tuan rumah’ tetapi tidak mampu menyediakan keselamatan untuk pasukan peserta acara global ini.”

Kenyataan itu jelas merujuk kepada AS, yang merupakan salah satu hos Piala Dunia 2026.

Isu keselamatan menjadi perdebatan selepas Trump mendakwa penyertaan Iran adalah “tidak sesuai untuk keselamatan mereka sendiri”, walaupun dalam pertemuan dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino, beliau sebelum ini menyatakan bahawa Iran “dialu‑alukan” untuk bertanding.

Piala Dunia dijadual bermula pada 11 Jun 2026, dengan Iran sepatutnya bermain perlawanan peringkat kumpulan di Los Angeles dan Seattle.
 

Must Watch Video