MALAYSIA
Festival Kesenian Rakyat Kelate perkukuh identiti budaya tempatan

Mohd Yusri berkata Kelantan mempunyai pelbagai elemen seni persembahan, makanan tradisional, permainan rakyat dan busana warisan. - Foto BERNAMA
BACHOK: Penganjuran Festival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) yang melabuhkan tirainya malam tadi bukan sahaja memperkukuh semangat cintakan warisan budaya tempatan, malah menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi pelancongan negeri.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata Kelantan sebagai permata budaya Pantai Timur mempunyai pelbagai elemen seni persembahan, makanan tradisional, permainan rakyat dan busana warisan yang wajar diketengahkan kepada generasi muda serta pelancong dari dalam dan luar negara.
"Festival seperti ini memberikan ruang dan peluang kepada para penggiat seni budaya serta pemain industri pelancongan untuk mengetengahkan produk seni budaya tempatan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam membentuk masyarakat berjiwa ihsan, peduli dan berkasih sayang, selain menghayati kepelbagaian budaya negeri Kelantan," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan FKRK 2025 di Pantai Irama, di sini semalam.
Majlis penutupan itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris.Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata FKRK yang memasuki edisi kelapan dan tahun kedua penganjurannya di Bachok telah berjaya menarik kehadiran lebih 83,000 pengunjung pada tahun lepas, dengan pulangan pelaburan berjumlah RM3.2 juta.
Beliau berkata bertemakan persembahan "Woye" (wayang), festival yang bermula dari 23 Julai lepas menampilkan enam teras utama, iaitu Persembahan Kesenian, Pencungkilan Bakat, Perkhidmatan Komuniti, Permainan Tradisional, Pameran Jualan dan Demonstrasi, serta Acara Pertandingan dan Cabutan Bertuah.
"Beberapa pengisian baharu turut diperkenalkan termasuk Pertandingan Dikir Barat Remaja, Musabaqah Azan, Perarakan Busana Tradisional, Pertandingan Kuca Suro (kacau bubur asyura), serta pertandingan tradisional seperti biddah (lastik) dan khemah pelancongan antara 12 daerah.
"Sebanyak 52 agensi dan jabatan kerajaan, badan berkanun, syarikat swasta serta persatuan seni budaya di Kelantan telah memberikan kerjasama strategik bagi memastikan kejayaan penganjuran FKRK kali ini," katanya.
Beliau berkata pada 2024, pihaknya telah meluluskan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan berjumlah RM1.2 juta kepada 22 persatuan dan syarikat seni bagi penganjuran program seni budaya di Kelantan.
"Selain itu, bantuan kewangan sebanyak RM590,000 turut disalurkan melalui peruntukan Jawatankuasa Pemberian Bantuan Kerajaan (JPBK) kepada lima persatuan berdaftar di negeri ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami