BANGKOK: Festival Malaysia 2023, yang diadakan di Hatyai, Songkhla, selatan Thailand, bermula pada Jumaat dengan tujuan mempamerkan destinasi pelancongan, produk dan kraftangan Malaysia.

Pembukaan rasmi Festival Malaysia julung kali itu, di kompleks beli-belah Central Festival Hatyai, disempurnakan dengan kehadiran Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Semasa ucapan pembukaannya, Tuanku Syed Faizuddin menekankan kepentingan acara itu yang menonjolkan peranannya dalam memperkukuh kerjasama antara Thailand dan Malaysia.

Baginda bertitah festival itu tidak hanya mempamerkan produk buatan tempatan yang dihasilkan usahawan tetapi juga meningkatkan sektor pelancongan dan budaya untuk kedua-dua negara.

Dianjurkan secara bersama oleh Vinspire Sdn. Bhd dan Wang Mart Co. Ltd, dengan sokongan daripada Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Kementerian Pertanian, Pelancongan Malaysia dan Majlis Bandaraya Seremban, festival tiga hari itu menampilkan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan Malaysia.

Acara itu menampilkan 15 gerai pameran, termasuk perwakilan dari Tourism Malaysia, Tahun Melawat Perlis 2024-2025, Majlis Bandaraya Seremban, Wang Mart Co. Ltd, Fatihah Frozen Food Sdn Bhd, dan V-Nion Food Industries Sdn Bhd.

Pengarah Urusan dan Pengasas Vinspire Sdn Bhd, Joey Tong berkata Festival Malaysia 2023 diadakan bertujuan mengukuhkan hubungan harmoni antara Thailand dan Malaysia di samping menggalakkan pembangunan ekonomi menyeluruh dan kelestarian masyarakat.

Beliau berkata festival itu juga berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan perdagangan dan budaya serta memupuk hubungan yang berkekalan antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi menyifatkan festival berkenaan sebagai pintu masuk untuk menikmati khazanah produk Malaysia.

Beliau menekankan bahawa program itu melangkaui promosi perdagangan dan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan, terutamanya dalam bidang pelancongan dan budaya.

Gabenor Songkhla, Somnuk Promkeaw memuji Festival Malaysia 2023 sebagai jambatan perpaduan, menghubungkan kedua-dua negara dan memupuk hubungan yang kukuh dalam perdagangan, pelancongan dan pertukaran budaya.

Beliau yang menegaskan peranan sejarah Songkhla sebagai laluan perdagangan, budaya dan muhibah antara Malaysia dan Thailand, menekankan kepentingan festival itu dalam meraikan warisan bersama yang saling berkaitan dan hubungan yang berkekalan.

"Ini adalah bukti dedikasi kami untuk membina hubungan berkekalan antara kedua-dua negara. Festival Malaysia berfungsi sebagai suar yang 'menerangi' perpaduan, memupuk persefahaman, kerjasama dan rasa hormat," kata Gabenor Somnuk.

-- BERNAMA