Festival Mek dan Awang Balik Kampung yang mengetengahkan budaya kaum Cina di Terengganu bakal diadakan di sini selama tiga hari bermula 1 Feb.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu Martin Tok berkata program itu bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu diadakan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT).

"Festival ini (yang telah dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri) sebagai nilai tambah kepada festival-festival lain seperti Festival Peranakan Terengganu dan Festival Perarakan Mazu.

"Kebudayaan Peranakan Terengganu mempunyai warisan tradisional yang amat unik termasuk adat resam, pakaian, makanan dan loghat," katanya dalam sidang media.

Katanya selain pelancong luar, anak jati Terengganu berbangsa Cina yang tinggal di luar negara biasanya akan pulang pada Tahun Baharu Cina untuk bersama keluarga dan penganjurannya pada waktu tersebut adalah tepat bagi mengimbas budaya yang semakin dilupakan.

Tok berkata festival itu juga sebagai satu daripada usaha menjadikan Kampung Cina sebagai hab pelancongan dan destinasi pilihan pelancong.

"Festival Mek dan Awang Balik Kampung boleh dijadikan sebagai platform dalam membuka peluang-peluang keusahawanan dan pelaburan kepada masyarakat tempatan yang mampu menjana ekonomi setempat," katanya.

Antara acara pada festival itu ialah tarian kebudayaan, persembahan tarian singa, pertunjukan yoyo dan aktiviti kebajikan.

-- BERNAMA