FINAS tawar dana RM250,000 galak penerbitan ASEAN

Azmir Saifuddin (tengah) berkata, AFTS 2025 membuka peluang luas kepada penerbit serta pengarah tempatan untuk menampilkan idea baharu, membina jaringan dan mempersembahkan karya mereka kepada wakil penyiar serantau.
KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memperuntukkan Dana Promosi dan Penyertaan Antarabangsa (DPPA) berjumlah RM250,000 kepada penerbit tempatan sempena penganjuran ASEAN Film dan TV Summit (AFTS) 2025 Siri Kedua yang akan berlangsung hujung bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata pemberian dana itu akan disalurkan kepada lima penerbit terbaik sebagai dorongan untuk memperkukuh kerjasama penerbitan bersama atau co-production antara pemain industri kreatif di rantau Asia Tenggara.
Menurutnya, bantuan berkenaan juga membolehkan penerbit tempatan menggunakan dana tersebut bagi menampung kos penyertaan ke sesi pitching dan pembentangan projek di luar negara.
Beliau berkata, AFTS 2025 membuka peluang luas kepada penerbit serta pengarah tempatan untuk menampilkan idea baharu, membina jaringan dan mempersembahkan karya mereka kepada wakil penyiar serantau.“Melalui platform ini, FINAS berharap penerbit tempatan dapat keluar dari zon selesa dan membawa karya mereka ke peringkat antarabangsa, sambil memperkenalkan keunikan budaya ASEAN kepada khalayak global,” katanya pada sidang media ASEAN Film & TV Summit di Studio Digital Mix Stage, Finas Hulu Klang, di sini pada Selasa.
Azmir menjelaskan, penyertaan yang diterima amat menggalakkan dengan 43 produksi tempatan telah menghantar penyertaan untuk sesi pitching yang bakal menghimpunkan penerbit filem, televisyen dan kandungan digital serantau.
Katanya, penganjuran edisi kedua AFTS itu juga selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab utama industri kreatif ASEAN, selain memperkukuh jaringan strategik antara penerbit, penyiar dan penggubal dasar di rantau ini.
“AFTS bukan sekadar acara tahunan industri, tetapi platform jangka panjang untuk memperkukuh kolaborasi dan membuka ruang kepada projek penerbitan rentas sempadan,” ujarnya.
Tambahnya, ASEAN Co-Production Forum akan menjadi tumpuan utama acara tiga hari itu, yang dijadual berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober ini, dengan membincangkan hala tuju serta masa depan industri kandungan kreatif serantau.
Selain forum utama, AFTS 2025 turut menawarkan sesi pitching B2B dan co-production bersama penyiar serta platform OTT ASEAN, selain lawatan rasmi ke beberapa agensi media tempatan termasuk RTM, Astro dan Bernama.
Penganjuran bersama Finas, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) itu juga dijangka menarik penyertaan lebih 300 penggiat seni dan kreatif ASEAN.
Bertemakan “ASEAN United: Kreativiti Tanpa Sempadan”, sidang berprestij itu bakal menghimpunkan lebih 20 organisasi penyiaran dan penerbitan dari Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina, Vietnam, Kemboja, Brunei dan Laos.
Finas komited memastikan AFTS menjadi wadah yang terus mengangkat nama Malaysia sebagai peneraju dalam memperkasa industri kreatif serantau, selaras dengan aspirasi menjadikan negara sebagai pusat kandungan ASEAN.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami