PUTRAJAYA: Sebuah firma guaman gagal untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang memutuskan bahawa peguam tidak boleh menuntut yuran guaman mereka daripada wang yang disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUA).

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Mohamad Zabidin memutuskan bahawa permohonan oleh firma guaman itu tidak memenuhi syarat yang diperlukan di bawah Kaedah 137, Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Beliau berkata mahkamah bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar bahawa perenggan di dalam penghakiman majoriti oleh panel Mahkamah Persekutuan terdahulu hanyalah pemerhatian oleh hakim-hakim dan tidak membentuk asas kepada suatu penghakiman.

Hakim Mohamad Zabidin berkata mahkamah mendapati penghakiman majoriti oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Hasmah Mohamed Hashim tidak boleh dikatakan sebagai tidak adil.

Dalam menggesa mahkamah mengetepikan penghakiman majoriti dan perintah supaya rayuan itu didengar semula, peguam yang mewakili firma itu, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata perenggan 28 dalam penghakiman majoriti adalah spekulasi hakim dan adalah tidak adil kerana hakim mencadangkan bahawa firma guaman itu telah terlibat dalam kelakuan tidak beretika apabila mengemukakan bil bagi perkhidmatan guaman yang diberikan kepada anak guamnya.

Beliau berkata penghakiman majoriti tidak mengambil kira bukti-bukti kerja dan perkhidmatan yang telah dilaksanakan oleh firma guaman itu dan bukan sekadar mengemukakan bil bagi perkhidmatan guaman yang diberikannya. Beliau berkata terdapat juga pelanggaran peraturan keadilan kerana hakim tidak meminta peguam menghujahkan perkara itu sebelum membuat keputusan.

Beliau menekankan kepada mahkamah bahawa perenggan 28 yang menyatakan, "Dan jika itu dibenarkan, apa yang perlu dilakukan oleh firma guaman untuk berjaya dalam tuntutannya di bawah Seksyen 61 (4) hanyalah mengemukakan bil perkhidmatan guaman yang diberikan kepada anak guamnya seperti yang dilakukan oleh perayu (firma guaman) dalam kes ini."

Mohd Dusuki yang mewakili Jabatan Peguam Negara berkata perenggan dalam penghakiman majoriti itu hanyalah ulasan lulus yang dibuat oleh hakim berhubung kebimbangan mereka jika tuntutan itu dibenarkan.

Beliau berkata wang itu telah pun dilucut hak oleh kerajaan dan tidak boleh dikembalikan kepada anak guam firma itu untuk membayar yuran guaman bagi perkhidmatan yang diberikan.

Siasatan pada 2016 mendedahkan Amar memiliki perisian komputer yang membolehkan akses kepada Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) tanpa memerlukan kata laluan atau cap jari. Amar kemudian memberikan perisian itu kepada sindiket yang menggunakannya untuk meluluskan permit pekerja asing secara tidak sah dengan bayaran RM1,000 bagi setiap kelulusan.

Kerajaan turut merampas wang tunai berjumlah RM553,918.44 daripada Amar, sebuah pangsapuri di Batu Caves dan sebuah Audi TFSI CVT S-Line (A).

Firma guaman itu kemudiannya meminta bayaran guamannya ditolak daripada aset Amar yang disita untuk perkhidmatan yang diberikan kepada anak guam mereka sejak dia ditahan polis sehingga prosiding pelucuthakan itu.

Tuntutan firma guaman itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Temerloh tetapi ditolak oleh Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara.

-- BERNAMA