KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan akan mengambil tindakan keras terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan dakwaan mengaitkan beliau dengan Israel.

Ujar beliau, tindakan itu didakwa dilakukan oleh Ketua Dewan Ulama Pas yang mengeluarkan kenyataan tersebut menggunakan sebuah portal media.

“Itu satu kenyataan biadap yang melanggar tatasusila.

"Fitnah yang menggunakan serban tidak sah dan saya bantah sekeras-kerasnya.

“Kalau diulang, saya akan ambil tindakan keras terhadap sesiapa yang berbuat begitu,” katanya ketika waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Datuk Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 dengan meminta Anwar supaya menarik semula perkataan biadab dan kurang ajar yang ditujukan kepada Dewan Ulama Pas.

Anwar kemudiannya bangkit menjelaskan bahawa beliau turut tersinggung apabila laporan media yang bertarikh 6 November itu turut memaparkan gambar beliau berlatarbelakangkan bendera Israel.

"Mengapa saya marah? Gambar saya dibelakangnya bendera Israel, jadi Yang Berhormat harus faham, Yang Berhormat juga keras dan marah dengan Israel, saya pun begitu.

“Tidak apa hendak tegur, marah atau kritik saya dalam soal lain, saya terima dengan baik... tetapi dalam hal ini, jangan.

"Jika penjelasan dibuat begitu, saya ucap terima kasih dan kita boleh bergerak ke depan. Terima kasih," ujarnya.

Beliau ketika itu menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berhubung pendirian kerajaan berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas untuk mengenakan sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas serta pergerakan Jihad Islam Palestin. - Sinar Harian