PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diminta meneliti semula kesan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) terhadap sektor pertanian di negara ini.

Menurut Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) Nurfitri Amir Muhammad, perjanjian itu dikhuatiri mengakibatkan beberapa kesan yang bakal membebankan golongan petani, penternak dan nelayan.

"Perkara paling utama yang saya rasa tidak boleh dicabar ialah berkenaan hak petani untuk menyimpan, berkongsi dan menjual benih.

"Walau apa sekali pun hujahnya, mereka yang bercakap berhubung import eksport tidak berhak menafikan hak tradisi petani untuk berkongsi dan menjual benih secara bebas.

"Ini kerana, CPTPP mewajibkan kita menyertai Konvensyen UPOV 1991, iaitu konvensyen yang memberi hak monopoli kepada pembiak baka.

"Ini bermaksud, petani tidak boleh menyimpan, berkongsi benih," katanya kepada media sebelum menyerahkan memorandum kepada Menteri KPKM Mohamad Sabu di sini, hari ini.

Menurutnya, memorandum terbabit mewakili suara 54 badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu KPKM meneliti semula kesan CPTPP terhadap sektor pertanian tempatan. 

Nurfitri berkata, CPTPP dikhuatiri menyebabkan lambakan import susulan pemansuhan tarif dan cukai import yang terkandung dalam perjanjian itu, sekali gus mengecilkan sektor pertanian tempatan.

"Pemansuhan tarif dan cukai import kepada kosong peratus ini akan menggalakkan lambakan import," tambahnya,

Katanya, selain petani dan penternak, nelayan juga antara golongan yang bakal menerima kesan berikutan perjanjian itu.

"Di dalam CPTPP, secara ringkasnya, nelayan dilarang menangkap spesies ikan yang berkurangan terlalu banyak.

"Sedangkan, punca kepupusan ikan ini adalah disebabkan bot tunda dan pencemaran alam," tegas beliau lagi.