Persekutuan Pengguna-pengguna Malaysia (Fomca) menjangkakan pembelian rumah oleh golongan muda akan meningkat, hasil pengumuman insentif untuk sektor hartanah dalam Bajet 2015.

Bajet 2015 melanjutkan pengecualian 50 peratus duti setem ke atas pembelian rumah pertama, meningkatkan had pembelian rumah kepada RM500,000 daripada RM400,000 dan memperuntukkan RM1.3 bilion untuk membina 80,000 unit rumah dalam Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Paul Selva Raj berkata, pengumuman itu adalah selari dengan permintaan semasa untuk kediaman mampu milik serta kadar pembelian tinggi untuk segmen perumahan, terutama di kawasan bandar,

"Rumah mampu milik pastinya dapat membantu, bukan sahaja dalam kalangan pembeli golongan muda, malah mereka yang sudah berkeluarga, namun perhatian perlu diberikan ke atas usaha mendidik kumpulan berkenaan mengenai pengurusan kewangan dan perbelanjaan berhemah," katanya.

Beliau berkata, pembelian rumah akan menyebabkan sejumlah besar wang dikeluarkan daripada komponen perbelanjaan, dan oleh itu, pengguna perlu lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka.

"Pengguna perlu merancang perbelanjaan mereka dengan mengutamakan rumah yang nilainya akan meningkat, bergantung kepada pasaran, berbanding nilai kereta yang akan susut," kata Paul.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Bulan Kewangan Berhemat 2014 oleh Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia Abu Hassan Alshari Yahaya di sini hari ini.

Paul juga berkata, pengurusan dan pendidikan kewangan perlu untuk memastikan hutang isi rumah tidak berada pada tahap yang membimbangkan.

Sementara itu, Abu Hassan Alshari berkata, jumlah hutang isi rumah meningkat pada kadar paling perlahan tahun lepas pada 11.5 peratus, berbanding 13.8 peratus pada 2012.

Beliau bagaimanapun berkata, kadar hutang isi rumah perlu diberi perhatian bagi memastikan orang awam tidak mempunyai hutang berlebihan yang boleh menjejaskan mereka dalam jangka masa panjang.

Kempen Bulan Kewangan Berhemat 2014 itu dianjurkan oleh FOMCA dan Persatuan Bank-Bank di Malaysia. Bertema 'Pengurusan Kewangan untuk Semua', objektif utama kempen itu adalah untuk mendidik orang ramai mengenai pengurusan kewangan selain menangani isu-isu dan aduan mengenai sektor perbankan dan kewangan.