KUALA LUMPUR: Usaha untuk menggabungjalinkan data-data bagi menjana statistik yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya, penting bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pengumpulan data secara banci atau kajian yang memerlukan kos yang tinggi, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.

Beliau berkata, buat masa ini, semua kementerian dan jabatan kerajaan sama ada persekutuan atau negeri, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan menyimpan pelbagai data yang mempunyai sistem berlainan terutamanya dari segi metodologi, standard, konsep dan definisi.

"Sehingga awal tahun 2000, penggunaan data agregat adalah satu kebiasaan. Tetapi selepas era tersebut, pembuat dasar memerlukan data yang lebih terperinci. Ini kerana, data agregat mempunyai kelemahan. Maklumat yang tidak terperinci sukar untuk menggambarkan keadaan sebenar.

"Kerajaan kini memerlukan data granular untuk membuat keputusan yang tepat bagi memastikan tiada pembaziran terutamanya dalam keadaan sumber kewangan yang semakin terhad," katanya ketika menyampaikan ucaptama merasmikan Persidangan Statistik Malaysia ke-10, di sini, pada Selasa.

Hanifah Hajar berkata, data granular mengandungi maklumat yang spesifik dan terperinci tentang suatu subjek dan ini membolehkan kerajaan melaksanakan program secara bersasar serta respons kepada krisis dengan berkesan, seterusnya meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Beliau berkata, dalam menghadapai era data raya, kepesatan revolusi digital berasaskan Internet dan teknologi satelit menuntut sumber teknologi baharu dengan penggunaan pelbagai peralatan, perisian dan kemahiran statistik terkini bagi menghasilkan pelbagai proses kerja yang lebih bersepadu.

Katanya, penyusunan statistik yang komprehensif serta indikator yang berkaitan amat diperlukan oleh kerajaan bagi pengubahsuaian strategi dan inisiatif apabila semakan dasar dibuat.

Untuk tujuan itu, Hanifah Hajar berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah diberi mandat untuk membangun dan menyelenggara Pangkalan Data Utama (PADU) dengan mengguna pakai sumber data pentadbiran yang tersedia ada di agensi-agensi kerajaan.

Beliau berkata, objektif PADU adalah menyediakan pangkalan data utama negara yang komprehensif dan "real" atau "near real time" tanpa ketirisan, selain sebagai aset strategik negara bagi pembuatan keputusan utama kerajaan merangkumi menambah baik kedudukan fiskal dan menstruktur semula ekonomi negara.

"PADU akan mengandungi semua profil maklumat individu dan isi rumah seperti biografi, demografi, pekerjaan, pendapatan serta rekod-rekod lain yang berupaya membantu kerajaan menggubal dasar dan memberi bantuan atau subsidi secara bersasar.

"Penjimatan daripada subsidi yang lebih bersasar akan dapat diagihkan semula bagi tujuan projek pembangunan dan program rakyat," katanya.

Beliau berkata, sistem PADU dijangka akan dibuka kepada orang ramai pada Januari tahun depan untuk kegunaan pengesahan maklumat peribadi. - BERNAMA