Skip to main content

Teknologi

Amazon ambil alih Globalstar AS$11.5 bilion, perkukuh rangkaian satelit Leo

Sumber: AMANZ
Melalui pengambilalihan itu, Amazon bakal memperoleh operasi satelit, aset infrastruktur serta lesen spektrum global Globalstar, sekali gus mempercepatkan peluasan perkhidmatan sambungan satelit Amazon di peringkat antarabangsa.

NEW YORK: Gergasi teknologi Amazon mengumumkan pengambilalihan syarikat komunikasi satelit Globalstar Inc dalam urus niaga bernilai kira-kira AS$11.5 bilion (kira-kira RM54.7 bilion) bagi memperkukuh rangkaian satelit orbit rendah Bumi (LEO) miliknya, Amazon Leo.

Melalui pengambilalihan itu, Amazon bakal memperoleh operasi satelit, aset infrastruktur serta lesen spektrum global Globalstar, sekali gus mempercepatkan peluasan perkhidmatan sambungan satelit Amazon di peringkat antarabangsa.

Advertisement

Amazon memaklumkan langkah strategik tersebut membolehkan pengenalan ciri Direct‑to‑Device (D2D), yang akan membantu penyedia perkhidmatan mudah alih meluaskan liputan suara, data dan permesejan ke kawasan di luar capaian rangkaian selular tradisional. 

Syarikat itu menjangkakan sistem D2D di bawah Amazon Leo mula digunakan pada 2028, tertakluk kepada penyempurnaan proses pengambilalihan dan kelulusan pihak berkuasa kawal selia.

Dalam perkembangan berkaitan, Amazon turut mengumumkan perjanjian berasingan dengan Apple bagi membolehkan rangkaian Amazon Leo menyokong perkhidmatan satelit untuk model iPhone dan Apple Watch tertentu, termasuk ciri kecemasan dan permesejan melalui satelit pada masa hadapan.

Globalstar yang dikenali sebagai perintis perkhidmatan satelit orbit rendah dijangka memperkukuh kedudukan Amazon dalam pasaran sambungan satelit, sekali gus meningkatkan persaingan dengan penyedia sedia ada seperti Starlink milik SpaceX.
 

Must Watch Video