Gabungan Nasionalis tekad perkukuh martabat bahasa, budaya Melayu

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim menerima cenderahati daripada Pengerusi Gabungan Nasionalis Aminuddin Yahaya (kanan) pada Majlis Pemasyhuran Majlis-majlis Mitra Gabungan Nasional di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh kedudukan bahasa dan budaya Melayu sebagai teras jati diri negara akan terus diperkasakan melalui pemasyhuran Majlis-Majlis Mitra Gabungan Nasionalis, yang menjadi wadah penyatuan perjuangan nasionalisme Melayu.
Majlis tersebut merangkumi Majlis Bahasa Negara (MBN) yang dipengerusikan oleh tokoh bahasa dan persuratan negara, Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan, manakala Majlis Budaya dan Warisan Negara dipengerusikan oleh Pensyarah Universiti Putra Malaysia Datuk Dr Abdul Mua'ti Ahmad.
Majlis Pendidikan Bumiputera Negara (MPBN) pula dipengerusikan oleh bekas Profesor Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron; dan Majlis Perundangan Negara (MPN) dipengerusikan oleh Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz.
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim ketika merasmikan majlis berkenaan meluahkan kebimbangan mengenai penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan orang Melayu sendiri yang semakin merosot, sekali gus memberi kesan terhadap kelangsungan budaya dan jati diri bangsa.
"Warisan budaya Melayu, termasuk seni tarian dan persembahan tradisional, kini semakin terpinggir dan kurang diiktiraf sebagai identiti nasional. Keadaan ini turut menjejaskan pendidikan, nilai kehidupan serta cara hidup masyarakat," katanya.
Rais menegaskan keperluan penyelesaian menyeluruh dan berkesan untuk mengembalikan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, budaya, dan kehidupan.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya, berkata kelemahan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda perlu ditangani secara serius kerana memberi impak langsung kepada pendidikan, kebolehpasaran pekerjaan, dan kepimpinan negara.
Untuk itu, Gabungan Nasionalis menubuhkan sebuah institut kepimpinan bagi melahirkan barisan pemimpin muda berilmu, berjati diri, dan berpaksikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kepimpinan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


