KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengalu-alukan komitmen Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk meneroka kerjasama yang selanjutnya bagi meningkatkan penyertaan negeri itu dalam industri minyak dan gas.
Hajiji berkata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz memberi taklimat dalam mesyuarat semalam berhubung potensi perkongsian strategik dan status semasa operasi Petronas di Sabah.
Advertisement
“Petronas turut memaklumkan kepada kami mengenai usaha bantuan yang berterusan untuk menyokong kerajaan negeri dalam membantu komuniti yang terjejas akibat banjir baru-baru ini di Sabah,” kata ketua menteri itu dalam satu kenyataan selepas mengadakan mesyuarat dengan syarikat minyak dan gas negara itu di sini.
Delegasi Petronas turut disertai Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Datuk Adif Zulkifli, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Datuk Bacho Pilong, Naib Presiden Perhubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi Norafizal Mat Saad dan pegawai kanan yang lain.
-- BERNAMA