KUALA LUMPUR: Polis menahan lapan lagi suspek di sekitar ibu negara pada Khamis dan Jumaat lepas kerana disyaki terlibat dalam insiden kes pergaduhan di Kampung Malaysia Tambahan, Cheras baru-baru ini, dipercayai berkaitan urusan menunda kenderaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun dan masih terdapat beberapa lagi suspek sedang diburu.

"Ada dalam kalangan suspek telah direman dua hari dan sebahagian lagi direman tiga hari bermula dari tarikh tangkapan. Polis tidak akan bertolak ansur berhubung kes gaduh dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program gotong-royong di Projek Perumahan Rakyat Kampung Limau di sini hari ini.

Pada Isnin dan Selasa lepas, 10 individu ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit manakala 12 lagi telah ditahan pada Rabu lalu menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan setakat ini 30 orang.

Dalam kejadian awal pagi Isnin itu, polis menerima makluman tentang pergaduhan yang dipercayai membabitkan dua kumpulan pekerja trak penunda kereta yang berebut pelanggan.

Sementara itu mengulas tentang kes bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas ditinggalkan ibunya di dalam kereta selama hampir 10 jam kelmarin, Allaudeen berkata ibu bapa kepada bayi akan diberikan peluang untuk bertenang terlebih dahulu sebelum dipanggil untuk dirakamkan keterangan.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak, namun kita beri ruang untuk mereka melalui detik-detik sukar ini," katanya.

Dalam kejadian 5.53 petang Khamis, bayi berkenaan ditemukan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang dalam kereta, di tempat letak kenderaan, Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), setelah ibunya yang merupakan seorang doktor di hospital itu terlupa menghantarnya ke taska.

Ibu kepada bayi malang itu hanya menyedari perkara berkenaan selepas suaminya menelefon memaklumkan mangsa tidak dihantar ke taska.

-- BERNAMA