GOMBAK: Tidak sempat mengelak kereta bertukar lorong dipercayai punca kemalangan melibatkan lima buah motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 26.4 Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu sekitar jam 12.30 tengah hari.

"Kemalangan dipercayai berlaku semasa kesemua penunggang motosikal yang dari arah Genting dipercayai telah hilang kawalan akibat terdapat sebuah kereta jenis dan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti telah menukar lorong.

"Kereta berkenaan telah menukar haluan dan masuk ke lorong di mana penunggang motosikal berkenaan berada menyebabkan seorang daripadanya terbabas dan jatuh di lorong kanan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Zainal berkata, akibat tidak sempat berhenti, empat lagi penunggang motosikal turut terbabas semasa cuba mengelak penunggang motosikal yang telah jatuh di atas jalan raya.

"Akibat daripada kemalangan itu, kesemua penunggang motosikal telah mengalami kecederaan di bahagian kepala dan beberapa bahagian badan yang lain.

"Kesemua mangsa telah dibawa oleh ambulans dan menerima rawatan di zon merah serta kuning di Hospital Selayang," jelas beliau.

BACA: Seorang melecur nahas 5 motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya KL-Karak

Pada Selasa Sinar Harian melaporkan, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi melecur selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan sepanjang 8.5 km bermula dari KM35 arah barat sehingga ke lokasi kemalangan. - Sinar Harian