Akibat gagal mengemukakan penyata cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, sebuah stesen minyak didenda RM72,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Shamsudin Abdullah menjatuhkan hukuman denda RM8,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu bagi setiap daripada sembilan pertuduhan itu selepas pemilik syarikat Nur Fattah Arrazak Enterprise Nur Izzati Beatrice Haekal Ngauh, 42, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Syarikat itu didapati gagal mengemukakan penyata GST bagi tempoh bercukai dari April 2015 sehingga Disember 2015 sebagaimana yang dikehendaki mengikut Seksyen 41 (1) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Ia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Lot 17774, Jalan 2, Taman Desa Jaya Kepong, di sini pada 2 Jun 2015 mengikut Seksyen 41 (6) akta itu yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, serbuan dan siasatan terhadap syarikat itu yang menjalankan jualan runcit bahan api automotif dan kedai serbaneka mendapati syarikat itu gagal mengemukakan Penyata GST-03 kepada pihak kastam.

Terdahulu, Nur Izzati yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dalam tempoh tersebut dua pekerjanya yang merupakan warga emas dimasukkan ke hospital dan dia lebih menitik-beratkan kebajikan mereka dan tidak menumpukan perhatian terhadap hal ehwal perniagaan.

Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Jamilah Abdul Rauf memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh seharusnya lebih peka terhadap keseriusan undang-undang berhubung perkara itu setelah menerima beberapa pemberitahuan daripada pihak kastam.