SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini mendenda AIROD Sdn Bhd sebanyak RM66,000 selepas syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat itu mengaku bersalah atas 44 pertuduhan gagal mematuhi tempoh pembayaran gaji pekerja.

AIROD Sdn Bhd, selaku orang kena saman (OKS) dan diwakili Presiden Kumpulan Syarikat National Aerospace & Defence Industries Bhd (NADI) Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman, didakwa sebagai majikan telah gagal mematuhi tempoh pembayaran upah kepada 11 pekerja syarikat itu bagi bulan Mac, April, Mei dan Jun 2022.

OKS didakwa melakukan kesalahan itu di bangunan NADI, Jalan Lapangan Terbang Subang, Subang pada 5 Sept lepas mengikut Seksyen 19(1) Akta Kerja 1955 dan dihukum mengikut Seksyen 99A akta sama yang memperuntuk hukuman maksimum denda RM10,000.

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 bagi setiap pertuduhan.

AIROD Sdn Bhd membayar denda berkenaan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman menasihati OKS agar tidak mengulangi kesalahan itu.

"Mahkamah memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap mitigasi rayuan wakil syarikat dan mengambil kira hujahan pihak pendakwaan. Mahkamah juga melihat keadaan syarikat yang tidak melakukan pembuangan pekerja," katanya.

Terdahulu, Abdul Rahim yang tidak diwakili peguam merayu agar syarikat itu dikenakan denda minimum atas alasan ia telah melangsaikan segala baki bayaran selain turut terkesan akibat pandemik COVID-19 sebelum ini.

"Bukan niat kami untuk melewatkan pembayaran gaji, kami cuba selesaikan. Syarikat kami mempunyai 420 pekerja, tiada pekerja yang diberhentikan dalam tempoh tersebut (pandemik).

"Sekarang Alhamdulillah, pembayaran upah tepat pada masanya dan syarikat-syarikat penerbangan juga telah beroperasi seperti biasa," katanya.

Pegawai Pendakwa Jabatan Tenaga Kerja Muhammad Rifaee Muhammad Salleh pula memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana syarikat itu pernah dikompaun RM30,000 bagi kesalahan sama.

"Kegagalan majikan membayar gaji mengikut tempoh akan memberi kesan kepada kelangsungan hidup pekerja yang perlu membayar komitmen bulanan seperti rumah dan kereta.

"Saya mohon hukuman berat dikenakan supaya kesalahan sama tidak berulang dan memberi pengajaran kepada majikan ini dan syarikat lain," katanya yang dibantu S.Vejayaletchumi.

-- BERNAMA