Gagal perbaharui LKM, JPJ sita Lamborghini Huracan bernilai RM4 juta

Datuk Aedy Fadly Ramli berkata LKM kereta berkenaan tidak diperbaharui sejak Disember tahun lepas dengan tunggakan berjumlah RM35,760. - Bernama
KUALA LUMPUR: Sebuah Lamborghini Huracan bernilai lebih RM4 juta antara 78 kenderaan mewah yang disita dalam Ops Luxury 4.0 di seluruh negara sejak Jumaat lepas hingga semalam, kerana tidak mempunyai perlindungan insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata LKM kereta berkenaan tidak diperbaharui sejak Disember tahun lepas dengan tunggakan berjumlah RM35,760.
"Sejak Ops Luxury dijalankan pada 1 Julai lepas, sebanyak 706 kenderaan mewah disita dan semuanya disimpan di depoh sitaan JPJ di seluruh negara mengikut Seksyen 64 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta peraturan-peraturan berkaitan," katanya dalam sidang media di depoh sitaan JPJ Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Aedy Fadly berkata pihaknya turut mengesan kesalahan lain antaranya tidak mempunyai lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh dan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan milik kenderaan lain.
Kenderaan yang disita hanya boleh dibawa keluar selepas pemilik menyelesaikan saman, memperbaharui LKM serta perlindungan insurans dan pihak JPJ tidak akan berkompromi terhadap pihak yang culas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


