NATIONAL
Gaji graduan baharu cukup-cukup makan
KUALA LUMPUR: Kos sara hidup yang kian meningkat di kawasan bandar menyebabkan pekerja baharu dalam kalangan graduan universiti perlu bijak menguruskan kewangan kerana gaji permulaan tidak setara dengan perbelanjaan harian.
Ringkasan AI
- Graduan universiti menerima gaji permulaan sekitar RM2,000 hingga RM3,000, yang hanya cukup untuk keperluan asas seperti sewa, makanan, dan pengangkutan.
- Kos sara hidup yang meningkat di kawasan bandar menyebabkan graduan perlu bijak menguruskan kewangan dan mencari peluang untuk meningkatkan pendapatan melalui kemahiran tambahan atau pekerjaan sampingan.
- Bekas Gabenor Bank Negara menyatakan bahawa Malaysia memerlukan reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan dan struktur pekerjaan untuk mengatasi kemunduran ekonomi dan memastikan gaji graduan setimpal dengan kos sara hidup yang meningkat.
Seorang pegawai pemakanan sukan di sebuah kelab bola sepak di Lembah Klang, Ahmad Afifu’d-din Hisamuddin, 24, berkata, dia menerima gaji permulaan sebanyak RM3,000.
“Saya anggap gaji ini memadai bagi seorang ‘fresh grad’. Ia mencukupi untuk keperluan asas seperti sewa bilik, makan minum, bayaran balik pinjaman pendidikan dan kos pengangkutan.
“Saya selesa bekerja di syarikat sekarang dan ingin terus menimba pengalaman. Tapi saya harap sumbangan saya akan dihargai dengan kenaikan gaji yang setimpal.
“Saya jangka gaji akan meningkat dalam tempoh lima tahun kerana bidang pemakanan sukan masih kecil dan memerlukan tenaga pakar yang berpengalaman,” katanya.
Menurut graduan Ijazah Sains Pemakanan dan Kesihatan Komuniti dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, hidup secara sederhana dan berjimat adalah kunci utama untuk bertahan di bandar besar.
Bagi jurutera analisis kegagalan di sebuah kilang elektronik, Wan Muhamad Haziq Wan Mohamad, 28, gaji permulaan sekitar RM3,000 dianggap memenuhi jangkaan.
Dia mengakui gaji tersebut masih mampu menampung keperluan asas seperti sewa, makanan, bil utiliti dan pengangkutan kerana belum mempunyai komitmen besar.
“Dengan kelayakan akademik dan permintaan pasaran kerja dalam bidang kejuruteraan, jumlah itu munasabah.
“Namun, saya tetap terbuka untuk mencari peluang kerja di tempat lain jika ada tawaran lebih baik dari segi gaji, faedah dan suasana kerja,” kata penuntut lepasan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) itu.
Pekerja sektor sumber manusia, Rabiatul Adawiyah Fathor Rasi, 26, pula berkata, dia beliau menerima gaji permulaan sebanyak RM2,000 sebagai peserta program latihan sambil bekerja di bawah syarikat cari gali minyak.
“Bagi saya ia memenuhi jangkaan kerana saya sedar peranan saya sebagai peserta latihan, bukan kakitangan tetap,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia itu.
Walaupun tinggal bersama keluarga membantunya menjimatkan kos, Rabiatul mengakui perlu mencari kerja tetap dengan gaji lebih tinggi selepas menimba pengalaman menerusi program tersebut.
Sementara itu, penerima Anugerah Pelajaran Diraja UPM, Mohammad Haziq Zikri Zainuri, 23, meluahkan rasa kecewa apabila gaji permulaan sebagai pengkaji saintifik tentang diet dan pemakanan dalam sektor korporat tidak mencapai jangkaan.
“Secara jujurnya, industri dietetik ini memang dibayar rendah. Ramai graduan merancang tukar bidang kerana sukar untuk berkembang dari segi kewangan.
“Buat masa ini saya masih mampu bertahan kerana tinggal bersama ibu bapa, namun masa depan bakal mencabar jika gaji tidak meningkat seiring kos sara hidup.
“Saya berharap gaji permulaan untuk fresh grad di Kuala Lumpur sekurang-kurangnya RM3,000 dengan kos barang yang makin mahal, angka itu baru cukup untuk hidup sendirian,” katanya.
Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim, dilapor berkata Malaysia kini berada di ambang kemunduran ekonomi sekiranya tiada reformasi menyeluruh dilaksanakan terhadap sistem pendidikan dan struktur pekerjaan negara.
Katanya, realiti pendapatan gaji sebenar di Malaysia pada hari ini merosot sebanyak tiga kali ganda berbanding empat dekad lalu.
Menurut beliau, gaji graduan pada masa kini tidak setimpal dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, pendapatan yang diterima jauh lebih rendah daripada apa yang sepatutnya mereka peroleh sekiranya kadar inflasi diambil kira.
*Laporan ini hasil kolaborasi Astro AWANI, Sinar Harian, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami