NATIONAL
Gaji ideal patut RM5,000 ke atas - Pakar ekonomi

Terdapat jurang yang ketara antara purata gaji dan kos sara hidup, dengan PAWK di kawasan bandar lebih tinggi berbanding luar bandar. - Gambar hiasan/ Bernama
SHAH ALAM: Kadar gaji ideal dan bermaruah bagi kategori bujang mahupun keluarga yang memiliki dua anak sepatutnya berada dalam lingkungan RM5,000 ke atas, namun bergantung kepada lokasi sama ada menetap di bandar atau luar bandar.
Ringkasan AI
- Kadar gaji ideal bagi individu bujang dan keluarga dengan dua anak sepatutnya berada dalam lingkungan RM5,000 ke atas, bergantung kepada lokasi sama ada di bandar atau luar bandar. Purata perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAWK) bulanan bagi satu isi rumah dicatatkan sebanyak RM4,729 untuk 2023.
- Terdapat jurang yang ketara antara purata gaji dan kos sara hidup, dengan PAWK di kawasan bandar lebih tinggi berbanding luar bandar. Kenaikan kadar inflasi dan kos sara hidup yang meningkat menyebabkan pendapatan rakyat tidak mengalami perubahan ketara.
- Malaysia memerlukan reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan dan struktur pekerjaan untuk mengatasi kemunduran ekonomi. Pertumbuhan gaji pekerja lebih perlahan daripada kenaikan harga barangan, menyebabkan kelompok B40 membelanjakan lebih banyak pendapatan mereka untuk keperluan asas berbanding M40 dan T20.
“Pengkelasan B40, M40 dan T20 hanya pendapatan kasar isi rumah, malah sudah pasti ia bukan ukuran tepat untuk menganalisis dapatan tersebut disebabkan mengambil kira kos sebenar sara hidup.
“Sudah pasti jumlahnya juga berbeza sama ada mengikut negeri-negeri di Malaysia atau perbandingan kos sara hidup di bandar dan luar bandar.
“Antara faktor penyumbang dari segi ekonomi adalah kenaikan kadar inflasi yang selalunya berpunca daripada permintaan dan bekalan, nilai matawang jatuh atau Malaysia terlalu banyak import makanan daripada negara luar,” katanya kepada Sinar Hadian pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas isu gaji dan kos sara hidup di negara ini dengan memfokuskan keseimbangan antara pendapatan serta perbelanjaan rakyat.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar pada Mac lalu memaklumkan, pertumbuhan gaji pekerja yang lebih perlahan daripada kenaikan harga barangan turut menjadi antara punca peningkatan kos sara hidup.
Menurut beliau, sejak 2019, gaji nominal setiap pekerja hanya meningkat tujuh peratus berbanding kenaikan harga keseluruhan iaitu 9.3 peratus, manakala makanan naik sebanyak 17.4 peratus.
Bukan itu sahaja, kelompok B40 juga membelanjakan 52 peratus daripada pendapatan mereka untuk membeli keperluan asas berbanding M40 (37 peratus) dan T20 (32 peratus).
DOSM pada 2 November tahun lalu melaporkan, perbelanjaan sara hidup yang wajar bagi isi rumah mencapai purata nasional per kapita RM1,314 sebulan.
Aimi Zulhazmi berpandangan, meskipun kadar inflasi terkawal sepertimana dikatakan kerajaan, tetapi pendapatan rakyat tidak mengalami perubahan ketara.
Tambahnya, purata gaji dan upah bulanan diterima pekerja di negara ini meningkat dari RM3,087 pada 2018 kepada RM3,224 pada 2019.
Malah, katanya, purata gaji yang diterima pada 2022 juga dilaporkan meningkat sebanyak 5.8 peratus iaitu RM3,212 berbanding RM3,037 pada 2021.
“Mungkin secara puratanya kelihatan banyak, tetapi jika dibandingkan dengan PAWK oleh DOSM, isi rumah di Malaysia dicatatkan pada RM4,729 untuk 2023.
“Selangor catat rekod tertinggi iaitu RM5,854 diikuti Perak sebanyak RM3,723. Jelas kelihatan bahawa jurang antara pendapatan purata gaji dan upah bulanan rakyat Malaysia serta PAKW masih jauh.
“Jadi kewujudan label ‘kerja tapi miskin’ tidaklah menghairankan,” ujarnya lagi.
*Laporan ini hasil kolaborasi Astro AWANI, Sinar Harian, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami