KUALA LUMPUR: Pembayaran gaji minimum RM1,500 kepada pekerja di semua sektor termasuk majikan yang mempunyai kurang lima pekerja, bermakna tiada lagi diskriminasi terhadap pekerja di sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang merungut kerana gaji rendah.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kamarul Baharin Mansor berkata lebihan gaji RM300 akan memberi kelegaan dan memberi kualiti hidup yang baik kepada pekerja.

Beliau berkata bermula hari ini pekerja di semua sektor akan menikmati gaji minimum RM1,500 tanpa mengira jumlah pekerja.

"MTUC mengharapkan pembayaran gaji RM1,500 akan meredakan ketidakpuasan hati pekerja kerana terbeban disebabkan kenaikan kos barangan. Lebihan RM300 sekurang-kurangnya dapat memastikan pendapatan pekerja meningkat tanpa melalui kerenah dan pelbagai alasan daripada syarikat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata MTUC juga menggesa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengambil pendekatan proaktif melalui penguatkuasaan secara efektif berhubung perkara itu dengan pergi ke tempat kerja.

"JTK tidak hanya perlu menunggu aduan daripada pekerja untuk mengambil tindakan. Pekerja di bawah kontrak kerajaan di sekolah seperti pembersihan dan keselamatan adalah mangsa yang telah diketahui oleh JTK," katanya.

Pada 27 Dis lepas, Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar berkata penguatkuasaan Perintah Gaji Minimum (PGM) bagi majikan yang menggajikan kurang lima pekerja ditangguhkan dari 1 Jan 2023 kepada 1 Julai 2023.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan yang dijangka menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada 2023.

Katanya penangguhan tambahan selama enam bulan itu diharap dapat memberi peluang untuk mereka menyelaras dan mengimbangi keperluan kewangan.

Sebelum ini PGM 2022 telah berkuat kuasa mulai 1 Mei 2022 dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih.

-- BERNAMA