KUALA LUMPUR: Personaliti media sosial, Nadira Isaac tampil mohon maaf kepada Pencetus Ummah (PU) Amin dan warga maya susulan kontroversi gambar yang tular baru-baru ini.

Jelasnya, dia tidak menyangka tindakan memuat naik gambar bersama PU Amin itu boleh mencetuskan situasi buruk.

Nadira berkata, dia memuat naik gambar itu seperti kebiasaannya berkongsi gambar-gambar lain sebelum ini di Instagram miliknya.


"Namun kali ini saya akui kesilapan saya. Sangat berterima kasih kepada PU Amin kerana sempat memberi tazkirah yang sangat berguna kepada tetamu.

"Saya dengan rendah hati ingin mohon maaf kepada PU Amin kerana tercalit dengan isu ini," katanya.

Nadira memuat naik video permohonan maaf dengan durasi satu minit 31 saat itu di akaun Instagram miliknya pada Selasa.

Pada Sabtu lalu, PU Amin telah dijemput menyampaikan tazkirah dalam majlis berbuka puasa dan pelancaran produk kecantikan milik Nadira.

Selepas majlis tersebut difahamkan PU Amin dijemput untuk bergambar dengan pihak penganjur majlis tersebut sebelum ia ditularkan di media sosial.

Gambar tersebut bagaimamana pun menimbulkan kontroversi apabila ramai yang mempertikai tujuan pendakwah tersebut di majlis tersebut.

Dalam video yang sama, personaliti media sosial itu turut memohon maaf kepada warga maya yang kecewa dengan gambar tular tersebut.

"Saya sekali lagi memohon maaf kepada semua yang tersinggung terutamanya PU Amin sendiri dan orang yang melihat posting itu.

"Saya akan berusaha untuk memperbaiki diri pada masa akan datang," katanya.