KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mencadangkan Kerajaan menyemak semula mekanisme kad diskaun siswa dalam usaha membantu mengurangkan beban dan menjaga kebajikan golongan pelajar.

Dalam sebuah kenyataan, GAMIS memaklumkan, kerajaan perlu memastikan setiap universiti menguat kuasa inisiatif itu dengan lebih efektif memandangkan ia merupakan program jangka masa pendek.

“Kerajaan perlu meneliti semula sistem Kad Prihatin Siswa (KPS) sedia ada yang telah dicadangkan oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) kerana mempunyai objektif bagi menyeragamkan kemudahan atau fasiliti dan tawaran/keistimewaan/ganjaran/promosi kepada pelajar.

“Liputan inisiatif ini perlu diperluas di kafe-kafe universiti, kedai-kedai buku, kedai runcit dan apa-apa outlet yang menjadi tumpuan utama pelajar supaya manfaat dapat dinikmati sepenuhnya bagi memenuhi keperluan kebajikan pelajar,” kata GAMIS dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Tambah kenyataan lagi, GAMIS menyarankan inisiatif ini juga perlu mewujudkan pelan jangka masa panjang menyelesaikan isu kos membebani pelajar tidak berkemampuan.

“Kerajaan perlu mengambil iktibar daripada respons atau keluhan peniaga kecil yang menyambut inisiatif Menu Rahmah tempoh hari dan Kementerian terlibat perlu ada pelan jangka masa panjang untuk menyelesaikan isu kos yang membebani mahasiswa miskin,” katanya.

Sementara itu, GAMIS turut memohon Kerajaan lebih fokus menyelesaikan isu dasar mahasiswa miskin termasuk kos yuran tinggi dan juga bayaran elaun program latihan industri wajib.