GEORGE TOWN: Kira-kira 590,000 atau lebih 80 peratus penduduk Pulau Pinang akan berdepan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 6 pagi esok bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam, manakala 157 kawasan membabitkan daerah SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam.

Bagi memberi kemudahan kepada penduduk sepanjang berdepan gangguan, PBAPP akan menggunakan 99 lori tangki air termasuk 27 lori tangki jumbo berkapasiti 40,000 liter untuk menghantar bekalan kepada pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air yang dijangka hingga 6 pagi 14 Jan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K. Pathmanathan berkata pihaknya juga akan memasang 97 tangki air statik termasuk 19 tangki fleksi gajah serta ratusan tangki statik tambahan yang disediakan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen di pelbagai kawasan.

"Semua lori tangki telah diisi dan sedia membekalkan 1.85 juta liter air sehari (JLH), manakala semua tangki statik PBAPP juga telah ditempatkan dan diisi di lokasi strategik. Pasukan kerja siap siaga untuk memulakan kerja, semua peralatan, alat ganti dan jentera berat telah dipasang di LRA Sungai Dua dan lokasi lain," katanya dalam kenyataan itu.

Pathmanathan berkata kira-kira 1,300 kakitangan PBAPP dijadualkan 24 jam untuk mendapatkan semula perkhidmatan bekalan air dalam empat peringkat pemulihan dari 12 hingga 14 Jan, manakala Pusat Panggilan 24 jam PBAPP (04-2558255) dimobilisasi secara penuh untuk menangani jumlah panggilan lebih tinggi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata tugas pembaikan di LRA Sungai Dua membabitkan penggantian dua injap sepanjang 1,200 milimeter di dalam saluran air paip terawat utama yang mengalami kebocoran.

"Ia membabitkan kerja penyelenggaraan berskala besar selain membabitkan projek air sampingan di 22 lokasi lain di seluruh negeri khususnya injap rosak dan bocor dengan ada bahagian yang sudah tidak diganti selama 50 tahun.

"Kerja pembaikan mengambil masa sehari dan selepas selesai kami akan membekalkan semula bekalan air secara berperingkat dan kami jangka bekalan air akan pulih seperti biasa antara 48 jam hingga 96 jam," katanya.

Zairil berkata tidak semua kawasan akan mengalami gangguan bekalan kerana beberapa kawasan termasuk di Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Teluk Bahang mendapat bekalan air dari LRA Air Itam dan LRA Teluk Bahang.

-- BERNAMA