GEORGE TOWN: Gangguan bekalan air selama empat hari di seluruh Pulau Pinang pada Januari ini tidak akan menjejaskan industri pelancongan negeri itu dengan ketara, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai.

Beliau berkata ini berikutan gangguan air secara berjadual bermula 10 hingga 14 Jan itu berlaku di luar musim puncak cuti sekolah dan musim perayaan.

Pihak hotel juga, katanya sudah pun dimaklumkan lebih awal agar mengambil langkah kontingensi dengan menyediakan simpanan tambahan bagi kegunaan sepanjang tempoh ketiadaan air dan sementara bekalan dapat dipulihkan sepenuhnya.

"Saya ambil maklum mengenai kebimbangan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang berkenaan gangguan bekalan air bulan depan, malah Pengerusinya Tony Goh juga ada berjumpa saya menyuarakan kekhuatiran situasi itu akan menjejaskan operasi perhotelan di negeri ini.

"Berdasarkan maklumat diterima daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), hotel di sepanjang Batu Feringghi dan Tanjung Bungah tidak terjejas kerana mereka bergantung kepada Empangan Teluk Bahang dan yang terjejas hanyalah hotel di George Town dan Seberang Perai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ditemui pada majlis meraikan delegasi 30 pengendali pelancongan dan media Thailand sempena lawatan suai kenal bagi mempromosikan Pulau Pinang, di sini pada Jumaat.

Wong berkata beliau akan memanjangkan kebimbangan MAH itu kepada pihak PBAPP dalam masa terdekat untuk melihat kaedah yang boleh diambil bagi membantu pengusaha hotel walaupun kebanyakannya sudah diminta menyimpan air tambahan untuk tiga atau empat hari kerana tangki sedia ada hanya mampu bertahan 48 jam.

Sebelum ini, PBAPP mengumumkan 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual selama 96 jam bermula 6 pagi, 10 Jan hingga 6 pagi, 14 Jan bagi memberi laluan kepada kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, selain kerja sampingan lain di 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang.

--BERNAMA