Gangguan keterlaluan manusia terhadap sifat semula jadi alam serta aktiviti manusia yang menggunakan sumber alam untuk kepentingan perniagaan secara rakus telah menyebabkan dunia hari ini berdepan dengan peningkatan krisis bencana alam.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah hutan dan pokok yang selama ini berperanan penting mengawal perubahan iklim dan pemanasan global, selain sebagai perlindungan sumber air, pengurangan hakisan tanah serta pengawalan banjir, kini tidak lagi dititikberatkan tujuan utama kewujudannya.
Sebaliknya, titah baginda ia dilihat sebagai sumber menghasilkan kayu untuk dijual bagi memperoleh kekayaan menyebabkan kegiatan pembalakan termasuk pembalakan haram, semakin berleluasa ekoran didorong oleh nafsu haloba.
"Tanpa pokok dan hutan, hilang segala manfaat rimba raya, berkurang spesis tumbuhan dan haiwan, rosak habitat semula jadi, terputus sistem rantaian makanan dan terancam kehidupan manusia.
"Begitu pentingnya peranan pokok dan menanam pokok dimanifestasikan dalam hadis Rasulullah yang bermaksud: Jika terjadi hari kiamat, sementara di tangan salah seorang daripada kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya, maka tanamlah," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan melancarkan buku bertajuk '40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar' yang dihasilkan oleh dua tokoh akademik iaitu Prof Datuk Seri Dr Ir Zaini Ujang dan Prof Datuk Dr Zulkifli Mohd Yusoff di Universiti Teknologi Malaysia kampus Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menyentuh tentang pencemaran sungai di negara ini, Sultan Perak bertitah mengikut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar, Malaysia telah kehilangan 102 sungai dalam tempoh 10 tahun, menjadikan kini hanya 477 sungai sahaja yang masih ada.
Daripada jumlah yang masih ada itu, hanya 219 sungai dalam kategori bersih, 207 sungai kategori separa cemar dan 51 sungai lagi dalam kategori tercemar.
Sultan Nazrin berkongsi pengalaman peribadi dan menyaksikan sendiri pencemaran sungai yang berlaku ketika bersama anakanda, Raja Azlan Muzaffar Shah, menyusuri Sungai Perak dari Pasir Salak hingga ke Teluk Intan semasa Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 pada 2015.
"Mungkin bertujuan untuk mengatasi jemu perjalanan, paduka anakanda beta yang ketika itu berusia tujuh tahun memilih untuk menghitung botol-botol plastik yang dilihat terapung di permukaan sungai dan dalam tempoh dua jam menyusuri perjalanan sepanjang 65 kilometer, hitungan beliau menunjukkan 700 botol plastik, terapung-apung di permukaan Sungai Perak," titah baginda.
Sehubungan itu, baginda berharap agar semua pihak agar dapat menjaga dan memulihara alam sekitar, yang merupakan satu tuntutan syarak serta fardu kifayah, dan tidak mengharap kepada kerajaan semata-mata untuk berbuat demikian.
Justeru, baginda amat menghargai usaha dua tokoh akademik berkenaan yang menyuntik dimensi agama, untuk menyedarkan umat Islam supaya lebih prihatin dan proaktif terhadap pelestarian alam sekitar menerusi penerbitan buku yang mendapat sokongan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia itu.
"Surau, madrasah, pusat tahfiz, sekolah dan pelbagai institusi pendidikan sewajibnya berada di barisan hadapan, menjuarai usaha untuk menyedarkan ummah mengenai alam sekitar dan menggerakkan ummah untuk memulihara alam sekitar secara konsisten setiap masa," titah baginda.
Sultan Nazrin pada pelancaran itu turut memuji usaha seorang anak muda, Ahmad Iszuddin Ahmad Izham, 13 penerima anugerah Yayasan Tuanku Bainun tahun ini atas usahanya melindungi penyu dengan cara tersendiri termasuk mengarang buku resipi, 'In The Kitchen With Iszuddin' dan menghasilkan 15,000 keping kuih dengan hasilnya disumbangkan untuk tujuan itu..
Baginda bertitah usaha yang dirintis dua tokoh akademik dan anak muda seperti Iszuddin itu perlu dijadikan inspirasi oleh anggota masyarakat dalam menghadapi cabaran menangani masalah pemuliharaan alam sekitar kerana melaksanakan usaha kecil adalah lebih bermakna daripada bersifat pasif dan berdiam diri.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Dec 17 2019
Sultan Nazrin berharap agar semua pihak agar dapat menjaga dan memulihara alam sekitar, yang merupakan satu tuntutan syarak serta fardu kifayah, dan tidak mengharap kepada kerajaan semata-mata untuk berbuat demikian. - Gambar fail
Wanita suara garau cemas bilik hotel diserbu JAIS
Seorang wanita yang memiliki suara garau berdepan detik cemas apabila hotel bajet yang dihuni diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Fokus Minggu Depan: Masa depan Harimau Malaya dan saingan Kejohanan ASEAN
Ikuti kupasan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Mohd Sadek Mustaffa berkenaan masa depan Harimau Malaya dibawah kendalian jurulatih baharu dan berdepan dengan saingan Kejohanan ASEAN.
Banjir: Johor, Pahang beransur pulih, Perak kekal
Situasi banjir di Johor dan Pahang semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri tersebut terus mencatatkan penurunan.
Farm Fresh hulur bantuan pasca banjir di Pantai Timur dan Utara
Farm Fresh Berhad, syarikat pengeluar tenusu tempatan terkemuka melancarkan misi bantuan pasca banjir bermula enam disember lalu untuk membantu mangsa banjir yang terjejas teruk di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
KKDW akan laksana PKD Mobile mini di Sabah, Sarawak - Rubiah
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan melaksanakan program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile mini di kawasan jauh jangkauan khususnya di Sabah dan Sarawak.
Johor peruntuk RM16.8 juta bantu 280,000 keluarga miskin dan B40
Johor memperuntukkan sebanyak RM16.8 juta bagi Program Bantuan Kasih Johor hasil daripada pendapatan yang mencecah RM2 bilion tahun ini.
KHM bimbang 26 konsert di Stadium Hoki Nasional ganggu latihan skuad negara
KHM melahirkan kebimbangan dengan rancangan untuk menganjurkan 26 konsert di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada tahun hadapan, yang dilihat boleh mendatangkan kesan kepada persiapan skuad negara.
Polis rakam keterangan ibu bapa, dua doktor
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata setakat ini seramai empat orang dirakam percakapan iaitu ibu bapa bayi dan dua orang doktor.
SAPP tarik diri daripada Perikatan Nasional
Yong berkata PN dilihat jelas ingin bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang dan ia bertentangan dengan dasar SAPP yang menyatakan bahawa semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sepatutnya hanya ditandingi parti tempatan.
Sekurang-kurangnya tiga maut, 39 cedera dalam serangan bom di utara Thailand
Pihak berkuasa Thailand masih menyiasat kes itu dan masih belum mengesahkan jumlah sebenar mangsa.
Gangguan manusia punca peningkatan bencana alam - Sultan Nazrin
Hutan dan pokok yang selama ini berperanan penting mengawal perubahan iklim dan pemanasan global kini tidak lagi dititikberatkan tujuan utama kewujudannya.