Gangguan bekalan elektrik yang melibatkan perkhidmatan MRT laluan Sungai Buloh-Kajang semalam (Rabu) adalah berpunca daripada kerja-kerja pengorekan oleh pihak ketiga.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam satu kenyataan memaklumkan aktiviti tersebut mengakibatkan kerosakan kabel TNB di antara pencawang masuk utama (PMU) Kajang dan stesen suis utama (SSU) MRT Kajang.

Bagaimanapun, bekalan elektrik berjaya disalurkan sepenuhnya pada 1.19 petang, Rabu.

“Sementara itu, kerja-kerja membaiki kabel yang rosak sedang giat dijalankan.

“Walaupun perkara ini bukan pertama kali berlaku, pihak TNB ingin sekali lagi memohon kerjasama semua pihak yang menjalankan kerja-kerja pengorekan agar merujuk terlebih dahulu kepada TNB bagi mendapatkan maklumat pemetaan dan khidmat nasihat.

“Ini boleh mengurangkan kebarangkalian kejadian seumpamanya berlaku lagi,” demikian menurut kenyataan tersebut, pada Khamis.

Sehubungan itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan gangguan bekalan elektrik dengan menghubungi TNB CareLine di talian 15454.