KUALA LUMPUR:Sebelum dunia dilanda pandemik COVID-19, Malaysia sudah berdepan dengan epidemik kesihatan lain - isu kesihatan mental kanak-kanak.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, “epidemik” itu membabitkan seramai 424,000 kanak-kanak yang berdepan masalah kesihatan mental, termasuk 1 daripada 10 kanak-kanak berusia di antara 10 dan 15 tahun.

Kini, murid-murid sekali lagi perlu mengadaptasi kepada pembelajaran dalam talian apabila sekolah di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan pada 14 Oktober.

Selain isu capaian internet dan kesukaran untuk fokus, cabaran utama yang dihadapi kanak-kanak adalah kurang waktu bersosial di rumah berbanding di sekolah.

Bagi Dr Norharlina Bahar, pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja di Prince Court Medical Center, sebarang gangguan kepada rutin harian boleh menjejaskan kesihatan mental mereka.

“Kanak-kanak rasa tidak selamat apabila tiada keselesaan atau rutin yang tetap. Sekejap sekolah ‘online’, sekejap sekolah macam biasa.

“Rasa tidak selamat akan menimbulkan respons dari sistem limbik dalam otak kita sekali gus menjadikan perkara lain sukar dilakukan, termasuk untuk belajar dan menjadi produktif,” jelas Dr Norharlina menerusi program AWANI Pagi pada Khamis.



Justeru, ibu bapa perlu memastikan anak-anak diberikan masa dan ruang untuk bersosial ketika kuarantin di rumah.

“Pastikan anak-anak rasa selamat dan tidak menyendiri. Walaupun tidak dapat berjumpa secara fizikal, kita boleh menggalakkan mereka menghubungi rakan-rakan.

“Kanak-kanak ada hak untuk berada dalam kalangan kawan-kawan sebaya. Itu adalah wajib,” tegas doktor itu yang juga merupakan panel DoktorBudak.com.

Dalam masa yang sama, ibu bapa perlu cekap mengesan sebarang perubahan dalam tingkah laku anak-anak supaya dapat mengenal pasti isu pokok di sebaliknya.

Penutupan sekolah akibat PKPB membabitkan 935,984 murid dan pelajar di Selangor, 511,349 di Sabah, 254,369 di Kuala Lumpur dan 31,917 di Putrajaya.

Beberapa perkhidmatan talian bantuan disediakan bagi membantu masalah kesihatan mental kes keganasan di rumah dan termasuk Talian Kasih (15999), Befrienders KL (03 7627 2929), Befrienders Kuching (082 242 800) dan Befrienders Kota Kinabalu (088 255 788).