Gangguan seksual: Semua anggota terlibat dikeluarkan dari tugasan SJR

Ridauddin Daud
Februari 15, 2021 12:43 MYT
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia memandang serius kejadian gangguan seksual seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Semua anggota polis yang terlibat dalam siasatan kejadian gangguan seksual melibatkan petugas Sekatan Jalan Raya (SJR) dikeluarkan daripada menjalanakan tugas SJR sehingga siasatan selesai.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia (JIPS), Datuk Zamri Yahya berkata, tindakan tegas dari sudut jenayah dan tatatertib juga akan diambil terhadap semua yang terlibat sekiranya didapati bersalah.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, Zamri menegaskan, JIPS memandang serius kejadian gangguan seksual seperti yang tular baru baru ini.
Sementara itu, JIPS juga menjalankan siasatan tatatertib bagi menyiasat kecuaian dan salah laku kejadian rogol remaja berusia 16 tahun yang dirogol seorang tahanan lelaki.
Menurut Zamri, dua laporan polis diterima dalam kejadian yang berlaku di Balai Polis Pusat Miri, Sarawak pada 9 Januari lepas
“Dua anggota polis yang bertugas menjaga lokap sewaktu kejadian ditahan kerja bermula 14 Januari lepas dan dan pada 9 Februari lalu, kedua-duanya dituduh di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Tindakan juga akan dikenakan terhadap 11 orang terdiri daripada Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis lain yang didapati gagal serta cuai menjalankan tugas,” katanya.
Menurut Zamri, tindakan yang akan diambil sama ada mereka diturunkan pangkat atau dibuang kerja.
BACA: Gangguan seksual di SJR: Bukit Aman tarik tugas dua anggota polis
BACA: Gangguan seksual: Beranikan diri lapor jika diganggu anggota penguatkuasa
#polis #PDRM #gangguan seksual #SJR #Sekatan Jalan Raya #jenayah #rogol #siasatan #remaja #Polis Diraja Malaysia #Tular #viral