KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menetapkan 15 Disember depan untuk keputusan dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tiga pihak lain, membatalkan saman seorang individu berhubung penamatan Projek Kereta Api Kelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan daripada pihak Mohd Hatta Sanuri, 47, selaku plaintif dan pasukan defendan.

Selain Dr Mahathir dan Muhyiddin, turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan kerajaan Malaysia.

Semasa prosiding, Peguam Kanan Persekutuan, Donald Joseph Franklin bagi pihak semua defendan berkata, tiada tindakan salah laku dilakukan ketika membuat keputusan untuk menggantung dan seterusnya menamatkan projek tersebut.

Menurutnya, defendan telah menjalankan kuasa dan tanggungjawab mereka dengan jujur, profesional dan suci hati tanpa kepentingan peribadi.

Beliau berkata, tindakan defendan ialah keputusan dasar kerajaan Malaysia setelah mengambil kira pandangan pakar, rundingan antara pihak, kepentingan negara dan implikasi kos.

“Subjek yang dicabar oleh plaintif, bukan membabitkan isu penggantungan dan menamatkan HSR oleh kerajaan Malaysia sebaliknya isu salah guna jawatan awam.

“Kami menekankan bahawa perkara itu berada di luar bidang kuasa mahkamah dan tidak boleh dijustifikasikan pihak defendan,” katanya.

Donald menghujahkan bahawa penyataan tuntutan plaintif ialah tidak berasas dari segi undang-undang malah gagal untuk menunjukkan dia mempunyai kepentingan terhadap perkara itu atau mengalami kerugian atas penamatan projek tersebut.

Sementara itu, peguam, Mohaji Selamat mewakili Mohd Hatta berkata, penggantungan dan penamatan HSR menyebabkan wang pembayar cukai dibazirkan.

“Defendan-defendan telah menggantung dan menamatkan projek itu sedangkan ahli ekonomi menyatakan bahawa HSR akan memberi manfaat kepada negara.

“Tindakan defendan menyebabkan Kerajaan menanggung kerugian kerana terpaksa membayar pampasan kepada kerajaan Singapura,” katanya.

Malah peguam itu berkata, kerajaan gagal menjelaskan penamatan projek itu pada 2021 sehingga mengundang kepada kekeliruan orang ramai.

Pada 30 Disember tahun lepas, Mohd Hatta memfailkan saman mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan pembaziran yang dilakukan oleh kesemua defendan, atas dakwaan menyalahgunakan jawatan berhubung penamatan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Hatta selaku plaintif mendakwa Dr Mahathir, yang ketika itu Perdana Menteri ketujuh telah melakukan kecuaian dan menyalah guna jawatan awam apabila mengambil keputusan menangguhkan HSR.

Ia menyebabkan kerajaan dan rakyat perlu membayar pampasan kepada kerajaan Singapura hampir RM46 juta.

Plaintif juga mendakwa Muhyiddin, yang ketika itu Perdana Menteri kelapan turut cuai dan menyalah guna jawatan awam apabila menamatkan projek berkenaan sehingga kerajaan dan semua rakyat termasuk plaintif selaku pembayar cukai perlu mengeluarkan wang RM320,270,519.24 sebagai pampasan pembatalan Perjanjian Dua Hala antara Malaysia dan Singapura yang dipersetujui.

Dakwa plaintif, Mustapa yang bertanggungjawab dalam menguruskan projek itu telah melakukan kecuaian ketika menangguhkan projek tersebut sehingga menyebabkan wang negara perlu dikeluarkan.

Selain itu, Mohd Hatta mendakwa, Ka Siong juga cuai semasa menguruskan projek tersebut yang merupakan pengangkutan awam bagi rakyat Malaysia sehingga mendatangkan kesusahan dan kerugian berjumlah RM46 juta dan RM320.27 juta itu kepada rakyat Malaysia, sekali gus menafikan hak rakyat untuk menikmati sistem pengangkutan kelas pertama di peringkat antarabangsa yang pantas, selamat dan murah.

Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan HSR sejauh 350 kilometer kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Sehubungan itu, Malaysia telah membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penggantungannya.

Projek tersebut dijangka menyediakan tiga servis utama iaitu perjalanan secara langsung antara Malaysia dan Singapura dalam tempoh 90 minit, khidmat domestik di Malaysia dan ‘shutte’ dari Iskandar Puteri (Johor) sehingga Singapura. - Sinar Harian