KLUANG: Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Gapar Gurrohu, 76, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di sini kira-kira 1.30 pagi, semalam.

Anak bongsu Allahyarham, Nor Safarin Gapar, 44, berkata kesihatan arwah bapanya mulai merosot sejak dua bulan lepas, selain mengalami komplikasi akibat diabetis.

Beliau berkata arwah bapanya sering bercerita mengenai ibunya (nenek, Nor Safarin) Mah Mohamad yang telah meninggal dunia sejak 48 tahun lepas di Mekah, Arab Saudi ketika mengerjakan haji.

"Arwah abah juga sering membayangkan isterinya, Datin Aminah @ Safiah Mohd Yusof, 75, sebagai arwah ibunya...selain sering mengajak kami sekeluarga untuk pulang ke kampung di Ujung Pasir, Melaka.

"Tetapi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami sekeluarga tidak menunaikan hasratnya itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Untuk rekod, Allahyarham memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara bermula 8 Mei 2001 hingga 22 Okt 2003.

Allahyarham meninggalkan isteri, dua anak lelaki serta enam cucu dan jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong Dalam, di sini selepas solat Jumaat, semalam.

"Kami pasti akan terkenangkan jasa abah, walaupun dia seorang yang aktif berpolitik tetapi tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya dan sering menghabiskan masa bersama kami sekiranya terluang," katanya.

Allahyarham Gapar Gurrohu sewaktu mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara pada 2001. - Gambar fail/BERNAMA

Sementara itu, Bendahari Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Md Jais Sarday menyifatkan Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota itu sebagai individu yang cukup disegani terutamanya di kawasan Kluang.

"Arwah merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Kluang ketiga, berkhidmat dari 1996 hingga 2008. Beliau banyak melakukan kerja amal sebagai Pengerusi Pertubuhan Anak Yatim Kluang selepas bersara daripada dunia politik.

"Ini merupakan satu kehilangan yang sangat besar untuk UMNO terutamanya di daerah ini. Saya mengucapkan takziah kepada keluarganya dan semoga rohnya dicucuri rahmat," katanya.

-- BERNAMA