MALAYSIA
Gara-gara terlelap, kereta rempuh lori telur

Kerana terlelap, seorang pemuda hampir kehilangan nyawa selepas kereta yang dipandu merempuh belakang sebuah lori telur di Lebuhraya Utara Selatan dekat Kepala Batas.-Foto Ihsan PDRM
Akibat terlelap ketika sedang memandu, seorang lelaki nyaris maut apabila kereta yang dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori telur dalam kemalangan di kilometer 115.3 arah utara Lebuhraya Utara Selatan, dekat Kepala Batas.
Bagaimanapun dalam kejadian jam 9.00 pagi tadi, pemandu kereta berkenaan bernasib baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Manakala pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan.

Rempuhan sebuah kereta dari belakang menyebabkan lori telur terbabas dan muatannya bertaburan di atas jalan raya.-Foto Ihsan PDRM
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika kejadian, pemandu kereta berusia 26 tahun itu sedang memandu dari arah Butterworth menuju ke Sungai Petani.
Bagaimanapun setiba di lokasi kejadian, pemandu kereta terbabit dipercayai terlelap sebelum keretanya merempuh bahagian belakang lori yang membawa muatan telur.
Kejadian menyebabkan lori terbabit terbabas dan berpusing sehingga muatan telur yang dibawanya bertaburan di atas jalan.
Noorzainy berkata, kereta terbabit mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, pecah cermin hadapan dan bumbung tertanggal, manakala lori mengalami kerosakan di bahagian belakang dan tepi.
Pemandu lori yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Sungai Petani untuk menerima rawatan.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami