KUALA LUMPUR: Garis Panduan Khas Untuk Mengendalikan Kes Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak Di Malaysia akan dikemas kini dengan versi baharu pada Januari tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata ini bagi mengambil kira perkembangan terkini berhubung pindaan undang-undang dan teknologi maklumat.

"Ia termasuklah mengambil kira cabaran yang dihadapi setiap agensi dan memasukkan langkah-langkah khas yang diperkenalkan oleh Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 serta pindaan undang-undang yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen yang akan datang.

Garis panduan berkenaan tidak dikemas kini sejak ia dilancarkan pada 2017 dan kini ia akan dikemas kini dengan baik," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Temu Duga Kanak-Kanak di Bukit Aman di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Justeru, Azalina berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri akan bekerjasama dengan Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan untuk mengemas kini garis panduan berkenaan.

Selain itu, Azalina berkata BHEUU juga akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) untuk menggubal peraturan atau kod industri mandatori bagi menyekat bahan penderaan kanak-kanak dalam talian.

Sementara itu, diminta mengulas perkembangan terkini mengenai Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia, Azalina berkata rang undang-undang suruhanjaya berkenaan akan dibentangkan di Parlimen pada bulan depan.

Beliau berkata apabila Suruhanjaya Kanak-Kanak ditubuhkan, ia akan bertindak sebagai badan bebas atau pemerhati kepada semua isu melibatkan kanak-kanak di negara ini.

"Kewujudan pejabat Suruhanjaya Kanak-Kanak itu juga bakal menjadi pusat rujukan utama negara luar melihat Malaysia mengendalikan kanak-kanak tanpa dokumen dan pelarian kanak-kanak.

Ketika ini Suruhanjaya Kanak-Kanak diletakkan di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) tetapi saya hendak suruhanjaya berkenaan dikeluarkan daripada Suhakam agar ia menjadi badan bebas," katanya.

-- BERNAMA