Skip to main content

Malaysia

Gastrodiplomasi bawa cita rasa Malaysia ke Budapest

Tetamu jemputan terdiri daripada pegawai kerajaan Hungary, pemimpin sektor perniagaan, ahli akademik dan pengamal media menghadiri program “A Taste of Malaysia” anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Budapest, Hungary.
Tetamu jemputan terdiri daripada pegawai kerajaan Hungary, pemimpin sektor perniagaan, ahli akademik dan pengamal media menghadiri program “A Taste of Malaysia” anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Budapest, Hungary.

Advertisement

BUDAPEST: Kedutaan Besar Malaysia di Hungary memperkukuh usaha gastrodiplomasi negara menerusi program “A Taste of Malaysia” bagi memperkenalkan keunikan masakan tradisional Malaysia kepada masyarakat Hungary.

Program yang berlangsung di Sekolah Masakan Kuktaparty itu menghimpunkan lebih 30 tetamu jemputan, termasuk pegawai kanan kerajaan Hungary, pemimpin perniagaan, ahli akademik kulinari dan pengamal media.

Diterajui Duta Pelancongan, Seni dan Budaya bagi Gastronomi, Datuk Cef smail Ahmad, program itu menampilkan demonstrasi penyediaan cucur udang sebelum tetamu menikmati hidangan tradisional Malaysia menerusi konsep hidang.
Antara sajian yang diperkenalkan ialah Nasi Beriani Gam Johor, Rendang Tok, Ayam Madu, Kari Dal, Pecal, Lepat Pisang dan Sira Labu.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Budapest, Norafizan Mustaffa berkata, makanan merupakan jambatan budaya yang berkesan dalam mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Hungary.

Beliau berkongsi contoh sebuah kedai makan di Perak yang diusahakan pasangan dari Hungary dan Malaysia, dengan hidangan tradisional Hungary, lángos, digandingkan bersama sambal, ikan bilis, kacang goreng dan timun, seakan-akan nasi lemak.

Menurutnya, penerimaan makanan tradisional kedua-dua negara membuktikan kecintaan terhadap makanan mampu menjadi titik persamaan dalam membina persahabatan antarabangsa.

Program itu turut dimanfaatkan untuk menggalakkan rakyat Hungary melancong ke Malaysia bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan 2027.

Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah Timbalan Pengarah Jabatan Asia dan Pasifik, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Hungary, Adrienn Sallai; Timbalan Datuk Bandar Daerah 1 Budapest, Artúr Fodor serta Naib Rektor Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Sains Pertanian dan Hayat Hungary (MATE), Dr. Zoltán Kovács.

Sehari sebelum acara utama, Chef Ismail turut mengadakan kelas bimbingan kulinari untuk enam penuntut bidang sains makanan dan gastronomi MATE bersama dua chef Hungary, Cef Péter Korpádi dan Cef Lajos Rácz.

Bagi menggalakkan tetamu mencuba sendiri masakan Malaysia, pihak kedutaan turut mengedarkan buku panduan resipi kepada semua hadirin.

Must Watch Video

Advertisement