ISTANBUL: Misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla akan tetap diteruskan di sebalik konflik terbaharu dicetuskan Israel terhadap Iran.

Demikian kata jurucakap Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC), Ann Wright pada sidang media Freedom Flotilla Sails Again, di sini, pada Jumaat.

Bagaimanapun, katanya, tarikh akhir pelayaran tiga kapal terlibat yang dijadual pada 21 April ini hanya akan ditentukan melihat kepada situasi dan keadaan semasa.

“Kesemua kapal akan terus belayar mengikut perancangan asal walaupun ini merupakan saat yang genting buat rantau ini.

“Bagaimanapun ini juga merupakan waktu yang genting bagi penduduk Gaza yang terus menerus berdepan kekejaman rejim Israel.

“Untuk itu, misi ini akan tetap diteruskan, namun segala penilaian risiko akan dilakukan semula bagi menentukan tarikh yang sesuai bagi memulakan pelayaran,” katanya.

Tambahnya, beberapa penilaian lain juga akan dilakukan termasuk bahagian teknikal kapal sebelum satu tarikh pelayaran baharu diumumkan kelak.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan beberapa buah kapal terlibat dalam misi membabitkan sebuah kapal kargo 5000 tan dan dua kapal penumpang yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang.

Kapal-kapal ini akan membawa bantuan kemanusiaan mendesak seperti bantuan perubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan, dan beberapa kenderaan termasuk lapan buah ambulans.