Gaza: Malaysia pilih penyelesaian damai, bukan pakatan ketenteraan Islam

Mohamad Alamin berkata dasar luar Malaysia berpegang kepada Piagam PBBdan undang-undang antarabangsa, selain menentang penindasan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia kekal memilih penyelesaian secara aman melalui diplomasi dan rundingan, berbanding penubuhan pakatan ketenteraan Islam seperti dicadangkan Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia al-Sudani, bagi menghadapi dasar penindasan Israel di Gaza.
Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata dasar luar Malaysia berpegang kepada Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, selain menentang penindasan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
"Malaysia berpandangan sebarang bentuk kerjasama hendaklah bersifat menyeluruh, tidak hanya tertumpu kepada aspek ketenteraan, tetapi turut merangkumi bantuan kemanusiaan dan pembangunan kapasiti bagi memastikan objektif keamanan dan kesejahteraan dapat dicapai," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berhubung pendirian rasmi Malaysia terhadap gesaan Perdana Menteri Iraq itu, supaya ditubuhkan pakatan ketenteraan negara Islam bagi menghadapi dasar penindasan Israel.Mohamad berkata cadangan Mohammed Shia pada 14 Sept lepas tidak diusulkan semasa Sidang Kemuncak Arab-Islam di Qatar, namun Malaysia bersedia menyertai operasi pengaman di Palestin sekiranya diwujudkan di bawah panji PBB, seperti penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Pasukan Interim PBB (UNIFIL) di Lubnan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami