Skip to main content

Malaysia

Malaysia tolak dakwaan aniaya kanak-kanak Rohingya, Baitul Mahabbah bukti usaha lindungi kebajikan

71725442662_TBBaitulMahabbah.jpg
Pelaksanaan inisiatif Baitul Mahabbah merupakan langkah interim untuk menyediakan penempatan sementara yang lebih sesuai kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama-sama penjaga mereka. - Gambar fail/ Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia menolak dakwaan yang mengaitkan negara ini dengan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak migran dan pelarian, termasuk komuniti Rohingya dan menegaskan pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi memastikan kebajikan serta perlindungan golongan itu terus diberi perhatian.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan dakwaan bahawa kanak-kanak dikurung tanpa pembelaan atau dinafikan kebajikan asas, tidak menggambarkan usaha sebenar yang sedang dilaksanakan dalam mengurus isu migrasi tidak teratur secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan selaras dengan keperluan keselamatan negara.

“Setakat 28 Feb 2026, sebanyak enam buah Baitul Mahabbah telah beroperasi di seluruh negara dan menempatkan sebanyak 188 kanak-kanak, termasuk tujuh kanak-kanak yang dikategorikan sebagai kanak-kanak tanpa penjaga atau terpisah,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan KDN itu, pelaksanaan inisiatif Baitul Mahabbah merupakan langkah interim untuk menyediakan penempatan sementara yang lebih sesuai kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama-sama penjaga mereka.

“Hakikatnya, kerajaan melalui KDN dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), telah melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan kebajikan serta perlindungan kanak-kanak yang terlibat terus diberi perhatian,” menurut kenyataan itu.

KDN memaklumkan menerusi inisiatif berkenaan, kanak-kanak terbabit dipindahkan daripada persekitaran depot tahanan imigresen biasa sementara proses dokumentasi, pengesahan status dan penyelesaian lanjut dilaksanakan.

“Di Baitul Mahabbah, mereka ditempatkan dalam persekitaran yang lebih kondusif serta diberikan perhatian dari segi keperluan asas, keselamatan, kesihatan, aktiviti pendidikan tidak formal, bimbingan asas dan ruang riadah yang bersesuaian dengan umur serta keadaan mereka,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Baitul Mahabbah juga merupakan langkah peralihan sementara kerajaan, bagi memperhalusi kerangka inisiatif “Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak” yang lebih menyeluruh menerusi kerjasama antara KDN, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), rakan strategik kerajaan serta badan bukan kerajaan berkaitan.

“Dalam masa yang sama, kerajaan sedang merancang untuk memperluas skop dan kapasiti Baitul Mahabbah secara berfasa, termasuk bagi menampung kategori umur kanak-kanak yang lain, tertakluk kepada kesesuaian kemudahan, tahap keselamatan, keperluan perlindungan kanak-kanak serta kapasiti agensi pelaksana,” menurut kenyataan itu.

KDN turut menegaskan pendekatan yang diambil bertujuan memastikan kanak-kanak terlibat tidak terus berada dalam persekitaran tahanan biasa, selain melindungi mereka daripada risiko eksploitasi, penyeludupan migran, pemerdagangan orang dan pengabaian.

“Pendekatan yang diambil adalah bagi menyeimbangkan tuntutan kemanusiaan dengan tanggungjawab kerajaan untuk memelihara keselamatan negara dan integriti sistem imigresen,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, KDN turut menekankan bahawa isu melibatkan komuniti rentan, termasuk Rohingya, tidak boleh dilihat secara terpisah daripada cabaran lebih besar melibatkan kemasukan tidak sah, penyeludupan migran dan pemerdagangan orang yang bersifat kompleks serta merentas sempadan.

Justeru, KDN menyeru semua pihak termasuk negara asal, pertubuhan antarabangsa, rakan serantau dan aktivis kemanusiaan memainkan peranan lebih tegas serta bertanggungjawab, dalam mencari penyelesaian mampan, termasuk menangani punca migrasi paksa, membanteras sindiket penyeludupan migran dan mempercepat penempatan semula ke negara ketiga.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement