KUALA LUMPUR:Cadangan mewajibkan pemakaian gelang untuk semua pekerja asing di negara ini sebagai pengenalan diri boleh membawa stigma kepada golongan berkenaan, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.

Lee berkata cadangan itu perlu dikaji dengan teliti kerana ia mungkin mempunyai implikasi negatif, apalagi ketika ini gelang hanya dipakai oleh mereka yang menjalani kuarantin kerana mempunyai hubungan rapat dengan pesakit COVID-19.

"Bahkan pada masa ini, orang ramai sudah menghindari pekerja asing memandangkan laporan media sering mengaitkan mereka dengan COVID-19," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya cadangan pemakaian gelang itu diteruskan sekalipun, langkah drastik seperti itu seharusnya dilaksanakan untuk tempoh tertentu sahaja, atau merupakan langkah jangka pendek.

"Perlu diakui bahawa mereka memberi perkhidmatan penting di negara ini dan tanpa mereka, kerja-kerja akan terhenti dan seterusnya menyebabkan kelewatan projek, serta memberi kesan buruk kepada ekonomi," katanya.

Katanya kempen pendidikan dan kesedaran yang berterusan mesti dijalankan untuk mendidik pekerja asing mengenai pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan menjaga kebersihan di tempat kerja masing-masing.

Rabu lepas, Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sedang mengkaji cadangan mewajibkan pekerja asing memakai gelang khas bertujuan memudahkan masyarakat untuk mengenal pasti mereka, berikutan peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan golongan berkenaan.

-- BERNAMA