KUALA LUMPUR: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) telah mengerakkan ahlinya bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Menerusi satu kenyataan media PBSM memaklumkan, sehingga kini sebanyak lima tan barangan keperluan seperti makanan serta khemah termasuk ubat-ubatan telah dihantar ke dua negara itu.

"PBSM telah menghantar lima tan barangan keperluan seperti makanan, khemah, selimut haba, beg tidur, termasuk ubat-ubatan.

"Kesemua barangan tersebut dihantar dengan bantuan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Kuala Lumpur.

"PBSM akan menghantar lebih banyak bantuan kemanusian di kedua-dua negara terbabit. Sehingga 22 Februari, sebanyak RM159,553.67 dana telah terkumpul bagi tabung gempa bumi di Turkiye dan Syria," jelas kenyataan itu.

Misi bantuan kemanusiaan itu melibatkan kerjasama Kementerian Luar Negeri, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) dan PBSM Turkiye dan Syria.

PBSM Malaysia menjangkakan kutipan sebanyak RM3 juta bagi membantu mangsa-mangsa gempa di kedua-dua negara tersebut.

Pengerusi PBSM Kebangsaan, Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru agar orang ramai menyalurkan sumbangan dalam membantu mangsa di negara berkenaan.

"Kita ingin menzahirkan penghargaan kepada semua yang telah menyumbang dalam Tabung Gempa bumi Turkiye dan Syria.

"Kita menggalakkan orang ramai untuk bersama dalam usaha ini bagi tujuan bantuan kemanusiaan buat mangsa di Turkiye dan Syria," jelas kenyataan itu.

Sehingga kini, beberapa syarikat tempatan bersama dalam membantu menyalurkan sumbangan bagi tujuan itu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank PBSM Malaysia berikut (5144 2210 2657).