MALAYSIA
Gempa bumi Segamat bukti sesar lama aktif, perlu kajian lanjur - Pensyarah UTM

Kejadian tiga gegaran dalam tempoh empat hari di Segamat bukan sesuatu yang mustahil meskipun Semenanjung Malaysia dianggap zon seismik rendah. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Gegaran kecil yang melanda Segamat baru-baru ini berpunca daripada pergerakan Sesar Mersing yang dikenal pasti aktif semula meskipun sebelum ini tiada rekod kejadian gempa di kawasan berkenaan.
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai Dr Mohd Zamri Ramli berkata gempa bumi berlaku akibat perlanggaran kerak bumi yang membentuk tekanan di sepanjang sesar sebelum tergelincir dan melepaskan tenaga.
Beliau yang juga ahli Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Kejuruteraan Gempa Bumi (eSEER) berkata gempa bumi pada 24 Ogos lepas disahkan berada dalam Sesar Mersing dengan kekuatan 4.1 skala Richter (gempa utama) serta 2.8 dan 3.2 skala Richter (gempa susulan) menunjukkan adanya lanjutan sesar aktif yang perlu dikaji lebih mendalam.
"Kejadian tiga gegaran dalam tempoh empat hari di Segamat bukan sesuatu yang mustahil meskipun Semenanjung Malaysia dianggap zon seismik rendah kerana kedudukannya di atas Plat Sunda yang stabil dan bukan di jalur lingkaran api Pasifik."Namun, tekanan daripada pergerakan tektonik serantau seperti Indonesia dan Filipina boleh mempengaruhi sesar lama. Potensi sesar lama atau kuno untuk aktif mungkin ada kaitan dengan gempa di negara jiran. Kajian ini sentiasa dijalankan di bawah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG)," katanya kepada Bernama hari ini.
Menjelaskan mengapa gegaran turut dirasai di Kluang, Muar dan Melaka, Mohd Zamri berkata tenaga seismik merambat atau merebak melalui kerak bumi keras di Johor hingga boleh bergerak jauh tanpa kehilangan tenaga.
Beliau berkata gelombang tersebut boleh bergerak jauh bergantung pada magnitud gempa, kedalaman pusat gempa, serta jenis batuan dan tanah di laluan perambatan.
Johor, tambahnya mempunyai kerak bumi agak keras dan tua menyebabkan gelombang boleh bergerak lebih jauh dan walaupun pusat gempa di Segamat, kawasan sekitarnya seperti Kluang, Muar, dan Melaka juga boleh merasai gegaran, biasanya dengan intensiti lebih rendah berbanding kawasan berhampiran pusat gempa.
Antara sesar lama di Semenanjung yang dikenal pasti ialah Bentong-Raub Suture Zone, Bukit Tinggi- Janda Baik-Genting, Zon Manjung-Sungai Perak dan kawasan Kenyir, Terengganu.
Selain itu, beliau berkata gempa setempat memberi kesan lebih kepada bangunan rendah dan sederhana kerana resonansinya dengan frekuensi gegaran manakala bangunan tinggi lebih terkesan oleh gegaran jauh seperti dari Sumatera yang terletak 350 kilometer (km) hingga 500 km dari Semenanjung.
Mengulas mengenai adakah bangunan di negara ini direka untuk menahan gegaran, Mohd Zamri berkata sebelum 2015 kebanyakan bangunan di Malaysia direka mengikut British Standards (CP 114, CP 110, BS 8110) yang tidak mengambil kira beban gempa, namun selepas gempa Ranau 2015 Malaysia beralih kepada Eurocode 8 (MS EN 1998) dengan National Annex Malaysia.
"Reka bentuk kini mengambil kira beban gempa, dan pengalaman Segamat 2025 membuktikan keperluan kemas kini peta hazard seismik supaya nilai rujukan seperti pecutan maksimum tanah (PGA) lebih tepat. Jika tidak, struktur berisiko direka dengan parameter terlalu rendah.
"Penting untuk mengemas kini peta hazard seismik dengan data terkini 2025 kerana rekod gempa baharu seperti gegaran Segamat membuktikan adanya sesar lama yang aktif semula sekali gus mengubah tahap risiko seismik sebenar di Semenanjung Malaysia," katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menambah peruntukan penyelidikan sains seismik, pembangunan kod reka bangunan tahan gempa serta memperkukuh kerjasama MetMalaysia dengan JMG dalam mengenal pasti serta memetakan semula sesar aktif serta mengemas kini parameter reka bentuk bangunan kritikal.
Berkenaan langkah berjaga-jaga, Mohd Zamri menyarankan orang ramai mengamalkan prinsip drop (jatuh), cover (lindung), hold on (pegang) ketika gegaran, menyediakan kit kecemasan, menjauhi bangunan retak, serta sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa selain tidak perlu panik dengan gegaran kecil tetapi perlu berwaspada dan tahu cara bertindak.
Beliau berkata pejabat daerah juga boleh bekerjasama dengan agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), MetMalaysia, JMG dalam menetapkan syarat tambahan pelan bangunan berdasarkan Eurocode 8 dan peta hazard terkini.
Langkah ini dilihat penting bagi memastikan struktur awam yang kritikal seperti sekolah, hospital, masjid dan struktur awam lain lebih berdaya tahan serta melindungi masyarakat daripada risiko bencana gempa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami