KUALA LUMPUR: Beberapa gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia berjaya mengutip dana sebanyak RM500,000 untuk diagihkan kepada mangsa gempa bumi Turkiye.

Ketua Pegawai Operasi Global Peace Malaysia (GPM), Syahril Azfar Saleh berkata, jumlah itu juga dijangka meningkat berikutan jumlah kutipan yang masih lagi berlangsung.

"Kita akan lihat hasil tinjauan yang akan datang kerana sasaran kita mungkin akan lebih meningkat dan bergantung juga kepada keperluan mangsa di 'ground zero', katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum melepaskan beberapa gabungan NGO untuk berlepas ke Turkiye bagi misi kemanusiaan berkenaan.

Mengulas lanjut, pihaknya juga menyedari risiko yang sedang berlaku di kawasan terbabit selain cuba untuk memastikan misi hanya tertumpu kepada agihan bantuan.

"Kita bukan pasukan yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) dan kita akan tumpu kepada agihan bantuan.

"Bantuan akan tertumpu kepada keperluan asas kerana kita sedia maklum mereka dah hilang segala-galanya," katanya lagi.

Bagi misi kali ini, sebanyak sembilan NGO yang akan mewakili negara antaranya Global Peace Malaysia (GPM), Malaysia For Syria (MFS), Cinta Syria Malaysia (CSM), dan Childrity yang turut mewakili 30 lagi gabungan NGO.

Selain itu, Astro AWANI juga antara wakil media yang bakal membawakan perkembangan dari semasa ke semasa sepanjang misi kemanusiaan berkenaan.