MALAYSIA
Operasi Carilamat warga Turkiye hilang di laut diteruskan hari kelima

Keluasan kawasan pencarian semalam sekitar 500 meter persegi di kedudukan 5.12 batu nautika dari Pulau Yu. - Foto Maritim Malaysia Terengganu
KUALA TERENGGANU: Usaha mencari dan menyelamat (Carilamat) seorang lagi warga Turkiye, Eser Demirkol yang hilang selepas Kapal Layar Daisy yang dinaiki karam di perairan Pulau Yu, di sini diteruskan untuk hari kelima hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kapten Maritin Hamiludin Che Awang berkata pencarian hari ini diteruskan dengan bantuan sembilan anggota Skuadron Selam Maritim Malaysia bermula kira-kira 9 pagi tadi.
Beliau berkata cuaca yang cerah dan keadaan laut yang agak tenang memberi ruang kepada pasukan penyelam untuk meluaskan radius kawasan pencarian.
"Semalam pasukan selam Maritim Malaysia telah meninjau lokasi kapal layar disyaki hanyut dengan menggunakan peralatan Remote Operated Vehicle (ROV) namun tiada sebarang petunjuk dan penemuan positif diperoleh."Keluasan kawasan pencarian semalam sekitar 500 meter persegi di kedudukan 5.12 batu nautika dari Pulau Yu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini dilaporkan, tiga lelaki warganegara Turkiye iaitu kapten kapal Ahmet Volkan Ata, 52, Ates Demiroren, 42, dan Demirkol, 52, yang merupakan peserta pelayaran merancang melakukan siri jelajah mengelilingi benua dari Malaysia ke negara asal mereka pada 28 Julai.
Bagaimanapun, pada 29 Julai kapal layar itu dilanda ribut dan dipercayai karam di perairan Pulau Yu.
Demiroren dijumpai dan diselamatkan oleh nelayan tempatan tengah hari 31 Julai manakala Volkan Ata ditemui selamat pada malam hari yang sama oleh bot nelayan tempatan setelah lebih 40 jam berenang di laut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami