Lebih 100 buah kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawi-Jawi, Pelangai di sini dikorek oleh pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai ada kaitan dengan aktiviti pemujaan atau ajaran sesat.

Kejadian itu menggemparkan penduduk kampung berkenaan yang hanya menyedari kejadian tersebut lewat petang Isnin dan telah melaporkannya kepada pihak polis.

Seorang penduduk, Radin Noraddin, 48, berkata, kejadian itu dipercayai berlaku lima hari lepas dan laporan polis dibuat pagi Selasa.

"Tanah yang dikorek adalah di tengah-tengah kedudukan antara dua batu nisan, iaitu kira-kira satu genggam setiap kubur.

"Saya tidak pasti apa motif mereka datang ke sini dan buat macam itu. Tetapi saya terkilan apabila batu nisan dan kepok turut dicabut," katanya.

Radin berkata perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku di kawasan perkuburan Islam dan berharap pihak berwajib dapat menjalankan siasatan dan membina pagar bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Kejadian itu dipercayai dilakukan oleh beberapa individu pada waktu tertentu dan dipercayai mereka melakukan aktiviti berkenaan menggunakan cangkul dan spanar," katanya.

Abdul Khalil Abdul Talib, 53, berkata kubur arwah ibunya adalah yang paling teruk dan digali sehingga sedalam satu kaki dan kepok pula dicabut.

Katanya ini merupakan kejadian kedua menimpa kubur arwah ibunya dan kejadian pertama pada tahun lepas.

"Sebelum inipun pernah berlaku tetapi tidak seteruk sekarang. Tetapi sebelum ini, hanya satu kubur sahaja terlibat," katanya.

Difahamkan, Tanah Perkuburan Kampung Jawi-jawi merupakan kubur kedua tertua di Pelangai dan pusara paling lama mencatatkan tarikh kematian pada tahun 1925.