dato-Hattan-3.jpg

Selepas perpisahan, bagaimana hubungan Dato’ dan Datin?

Kami masih berhubung seperti biasa malah dalam sehari hampir tiga ke empat kali dia akan menelefon saya. Kami tidak memperjuangkan hak penjagaan Adam ketika itu. Apabila saya bekerja, dia akan menjaga Adam dan apabila saya bercuti, saya akan menjaga Adam. Tetapi saya lebih banyak melihat kesungguhannya yang tidak pernah jemu memujuk dan berharap saya akan kembali padanya. Dan apabila ditimbang tara, mengapa tidak saya berikan peluang kedua kepadanya.

Kembali rujuk atas permintaan anak?
Sudah jodoh dan tertulis di Loh Mahfudz, kami kembali bersatu semula selepas perpisahan itu berlaku. Mungkin anak antara salah satu faktor tetapi selepas melihat perubahan pada dirinya, itu antara faktor penguat yang membuatkan saya mahu kembali rujuk. Jika dahulunya solat ada yang tertinggal tetapi kini tidak lagi. Baik saya mahupun Abang Hattan, masing-masing punya kesilapan untuk diperbetulkan. Perpisahan itu mungkin juga berlaku kerana kealpaan kami untuk melunaskan tanggungjawab dan memahami peranan masing-masing.

Mungkin juga kerana faktor saya bekerja, terbang ke sana-sini, darah muda, enjoy lebih, solat dan doa kurang… Semuanya serba tidak kena. Biarpun Abang Hattan tidak berubah 100 peratus tetapi karakter dan sifatnya jauh banyak berubah berbanding dahulu. Tambahan pula dengan usia yang semakin meningkat, tiada apa lagi yang mahu kami kejarkan. Biarlah kekal hingga hujung nyawa. Mungkin juga kembalinya saya kepada Abang Hattan kerana berkat doa semua dan usahanya yang tidak pernah kenal erti mengalah.

Sewaktu ibu saya mahu menunaikan umrah, Abang Hattan datang berjumpa dengan ibu saya. Katanya sambil menghulurkan sedikit wang, “Mama, tolong doakan untuk kami berdua di hadapan Kaabah nanti,”

Daripada situ saya dapat lihat kesungguhannya dan betapa dia sudah berubah berbanding ketika awal perkahwinan kami dahulu. Banyak faktor sebenarnya yang saya nilaikan dan perhalusi dan kerana itu ia memakan masa hingga sembilan tahun barulah saya bersetuju kembali kepadanya.